UMNO Anjur Jelajah Usahawan Halal, Mampu Buka Potensi Peniaga

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Program Jelajah Usahawan Halal anjuran Sekretariat Hal Ehwal Industri Halal dan Keusahawanan UMNO Malaysia akan bermula bulan hadapan.

Ia dirangka khusus untuk membuka ruang dan peluang kepada usahawan-usahawan dan orang awam yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan dan industri halal khususnya.

Modul Kursus Profesional Eksekutif Halal dan Audit Dalaman Halal yang ditawarkan oleh Halal Development Corporation (HDC) akan dibawa kepada semua usahawan dan graduan di luar sana agar mereka mendapat pengiktirafan dan peluang pekerjaan yang sewajarnya untuk maju ke peringkat yang lebih tinggi.

“HDC juga telah membangunkan Halal Integrated Platform (HIP), inisiatif yang mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang menghubungkan usahawan dan pihak-pihak berkepentingan dalam ekosistem halal melalui satu platform ‘super apps’ yang bersepadu.

“HIP akan memudahcara dan memantau penyertaan para usahawan dan graduan yang terlibat di dalam program Jelajah supaya mereka sentiasa berdaya maju dan mampan dalam jangka masa panjang,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan sekretariat itu lagi, siri jelajah usahawan akan bermula sekitar Julai di negeri Selangor.

“Fokus kita adalah untuk pastikan seberapa ramai graduan dan usahawan mendapat maklumat dan manfaat daripada program ini,” kata sekretariat itu.

Sekretariat tersebut dipengerusikan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sekretariat Hal Ehwal Industri Halal dan Keusahawanan UMNO Malaysia ditubuhkan untuk menyediakan wadah bagi membela hal ehwal usahawan dan penggiat industri halal.

Sekretariat ini juga melibatkan wakil dari usahawan, sektor korporat, wakil badan bukan kerajaan (NGO) selain dari wakil sayap-sayap UMNO dan wakil dari negeri.

Objektif sekretariat ini adalah untuk memastikan kelangsungan hidup peniaga mikro, membantu peralihan usahawan daripada syarikat sederhana ke syarikat besar, memacu dan memecut perkembangan syarikat besar ke peringkat global serta melahirkan Technopreneur Bumiputera untuk teknologi masa hadapan.

Pada Sabtu lalu, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2O23, program Jelajah Usahawan Halal ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut sama Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari dan pengurusan kanan HDC. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.