Penerbitan Pas Berbaur Fitnah, Laporan Polis Terhadap Harakah Daily Dibuat

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Rentetan tiada sebarang tindakan positif yang dilakukan oleh Harakah Daily berikutan penerbitan berbaur fitnah terhadap UMNO, satu laporan polis telah dibuat.

Ini adalah berkaitan laporan Harakah Daily bertarikh 9 Jun menyatakan bahawa UMNO Cawangan Taman Dato Hormat telah dibubarkan ekoran 48 ahlinya meletak jawatan seterusnya menyertai parti Pas.

Sehubungan itu, ahli UMNO Cawangan Taman Dato Hormat telah bertindak membuat laporan polis ke atas artikel terbabit dengan diwakili oleh Kamarul Azhar Bahruddin yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO cawangan terbabit.

Katanya, pihak Pas dilihat sengaja ingin merosakkan reputasi UMNO dan berniat jahat.

“Maka laporan polis telah dibuat untuk meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penerbitan yang berbaur fitnah tersebut.

Terdahulu, penafian telah dibuat oleh Ketua UMNO Cawangan Taman Dato Hormat, Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd Jaafar dengan menggesa penerbit dan editor Harakah Daily membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam laporan yang berunsur fitnah dalam tempoh 24 jam.

Dalam hal ini Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat merangkap Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Dato Hormat, Khaidir Baharuddin juga mengesahkan bahawa berita terbabit adalah palsu.

“Individu yang dikatakan telah melompat masuk parti PAS itu bukan daripada keahlian UMNO Cawangan kami.

“Saya mengesahkan berita tersebut adalah palsu dan cawangan kami masih setia dengan perjuangan parti UMNO.

“Saya berasa amat kecewa dan mengecam tindakan Harakah Daily yang merupakan sumber berita utama parti PAS yang telah menerbit artikel berbaur fitnah dan mencalarkan imej UMNO Cawangan Taman Dato Hormat,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.