Dakwa Dua Juta Tinggalkan UMNO Adalah Dusta, Anwar Musa Dibidas

LAHAD DATU, 12 Jun –Tan Sri Annuar Musa dibidas ekoran mendakwa, lebih dua juta rakyat yang selama ini menjadi penyokong UMNO, sudah meninggalkan parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menegaskan bahawa kenyataan itu adalah dusta.

Lantas beliau menggesa ahli-ahli UMNO untuk bangkit dan memaklumkan perkara yang sebenar.

“Pendusta! 3,442,280 juta jumlah ahli UMNO sehingga 6 Jun 2023. Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu menggesa ahli UMNO supaya bangkit memperbetulkan pendustaan Tan Sri Annuar Musa.

“Tiada berkurang ahli UMNO di setiap bahagian seluruh negara seperti apa yang didustakan Annuar Musa,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Bahagian UMNO Lahad Datu selepas pemilihan UMNO telah bertambah kepada 47,223 ribu daripada 45 ribu ahli, dan ada lima ribu lagi kemasukan ahli baharu dari kalangan anak muda.

“Mereka ini telah mengisi borang ingin menjadi ahli UMNO, telah difailkan dan akan dihantar ke UMNO pusat.

“Di akhir zaman muncul ramai pendusta,” katanya lagi.

Terdahulu pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang membacakan laporan memaklumkan bahawa keahlian UMNO ialah 3,442,280 orang.

“Berbicara mengenai keahlian UMNO, suka saya kongsikan kepada semua bahawa sehingga 6 Jun 2023, UMNO mencatatkan 3,442,280 orang ahli merangkumi 22,125 cawangan dari 191 Bahagian di seluruh negara termasuk Sabah,” katanya.

Jelas beliau, untuk tahun ini sahaja, penambahan keahlian baharu dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023, adalah seramai 13,442 orang.

“Suka saya menarik perhatian semua adalah daripada jumlah keahlian baharu yang mendaftar pada tahun ini, sebanyak 8,876 orang atau 66 peratus adalah mereka yang berusia 18-30 tahun.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.