Fitnah UMNO Cawangan Taman Dato Hormat Bubar, Harakah Daily Digesa Mohon Maaf, Padam Laporan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua UMNO Cawangan Taman Dato Hormat, Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd Jaafar dengan serius menggesa penerbit dan editor Harakah Daily membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam laporan yang berunsur fitnah berkaitan penerbitannya.

Ini adalah bekaitan laporan Harakah Daily bertarikh 9 Jun menyatakan bahawa UMNO Cawangan Taman Dato Hormat telah dibubarkan ekoran 48 ahlinya meletak jawatan seterusnya menyertai parti Pas.

“Saya selaku Ketua UMNO Cawangan Taman Dato Hormat menafikan sekeras-kerasnya. Lebih dari itu, setelah semakan dibuat tiada satu pun ahli Cawangan ini yang bertindak keluar parti apatah lagi menyertai parti Pas.

“Saya dapati laporan ini sungguh tidak bertanggungjawab, cuai, jauh dari tahap profesionalisme dan mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain dalam konteks ini diri saya sendiri selaku ketua Cawangan berkaitan serta seluruh ahli Cawangan ini secara umum,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Tegasnya lagi beliau tidak tahu menahu jika ia merujuk kepada mana-mana Cawangan lain.

“… tetapi sepanjang pengetahuan saya, tiada Cawangan yang dibubarkan lebih-lebih lagi Cawangan Taman Dato Hormat ini.”

Dalam hal ini beliau memberikan tempoh 24 jam atau tindakan lanjut termasuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa dibuat.

“Ini bagi membersihkan nama baik saya dan seluruh ahli UMNO cawangan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.