Tolak Dakwaan Negatif Pada UMNO Berkaitan Kerajaan Perpaduan – Johari

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani sekali lagi menegaskan kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) serta rakan-rakan gabungan parti yang lain.

Justeru beliau menegaskan dakwaan yang dimainkan hari ini termasuklah UMNO bekerjasama dengan Dap bukan sahaja tidak tepat malah amat jauh tersasar sama sekali kerana jumlah kerusi antara kedua-dua parti berkenaan tidak berupaya untuk membentuk kerajaan ‘unity’.

“Dap mempunyai 40 kerusi Parlimen manakala UMNO dan rakan-rakan komponen BN mempunyai 30… 30 dicampur dengan 40 tidak boleh wujud kerajaan ‘unity’. Sebenarnya kita buat keputusan untuk bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini bukan kerana Dap tetapi kerana kita mahu memberikan kestabilan politik kepada negara.

“Kita belajar daripada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila negara mempunyai tiga perdana menteri dalam tempoh satu penggal… huru-hara semuanya. Jadi sebab itu kita buat keputusan…. bukan kepentingan kita semata-mata secara peribadi tetapi demi kepentingan negara.

“Kalau sesebuah negara itu tidak stabil susah… apabila tidak ada parti dalam negara ini yang mempunyai kuasa mutlak atau kemenangan mutlak, takkan kita nak biarkan negara jadi sebelum ini. Takkan kita mahu ‘repeat’ balik apa yang berlaku pada PRU-14, kita ulang balik PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di sini, semalam. Turut serta menjadi ahli panel dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Townhall berkenaan dihoskan sendiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. Turut bersama Presiden dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Mohamad Haji Hasan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut berkongsi pentas memberikan penerangan terkini parti khususnya langkah membentuk kerajaan perpaduan bersama rakan baharu PH dan parti-parti lain.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa seterusnya menegaskan bertukar perdana menteri beberapa kali memberi kesan yang buruk kepada sesebuah negara khususnya daripada sudut ekonomi.

“Jika PRU-14 bertukar tiga kali, kali ini bertukar empat kali… jadi akhirnya siapa yang akan menerima kesan ini… sudah tentu negara, orang nak datang melabur pun takut, ‘capital market’ pun berterabur lari, orang bawa keluar duit tiap-tiap minggu daripada ‘capital market’ sebab dia nak tengok kestabilan politik.

‘Jadi kita baru wujudkan kerajaan ini… jumlah 148 ‘unity government’, sebab itu saya cakap tadi dalam masa lima tahun ini kita kena tunjukkan bukti ini dan dapat memberikan gambaran kepada rakyat bahawa kerajaan ini boleh membangunkan negara dengan adanya kestabilan politik. Sekarang baru sahaja beberapa bulan dan kita perlu monitor,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.