Kehadiran Luar Biasa Jentera UMNO Pulau Pinang, SUA Luah Penghargaan

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki teruja dengan sambutan diterima daripada jentera UMNO Pulau Pinang ketika kehadirannya ke negeri itu.

Beliau menerusi kunjungan tersebut meluahkan harapan yang besar kepada jentera parti pulau mutiara itu untuk bekerja sebaiknya sebagai persiapan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Meneruskan program jelajah saya ke negeri-negeri dan kali ini ke Pulau Pinang. Amat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai hari ini.

“Insya-Allah, kita akan terus komited dalam perjuangan parti keramat UMNO ini dan semoga beroleh kemenangan pada PRN yang akan datang bagi meneruskan tradisi membela rakyat demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf memulakan perjalanan beliau ke UMNO Bahagian Bayan Baru bagi sesi dialog bersama jentera bahagian sebelum ke UMNO Bahagian Balik Pulau untuk program pemukiman.

“Bermula pagi bersama kepimpinan UMNO Bahagian Bayan Baru yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ir Mansor Musa bagi sesi dialog bertempat di Pejabat UMNO Bahagian Bayan Baru.

“Kemudian ke Program Pemukiman Jentera Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang dan Negeri Kedah bertempat di Kem White Resort, Balik Pulau,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.