Pas Usah Terlebih Seronok Dan Berangan Untuk Bersama Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 31 Mac – UMNO Bahagian Alor Setar menempelak Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin sambil berharap parti itu untuk tidak terlalu memasang angan-angan bagi bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

Naib Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata ajakan daripada pemimpin veteran Dap seperti dimaklumkan Pas itu adalah hanya bersifat peribadi.

“Saya berpandangan, Khairil ini yang tak buat ‘homework’ sebenarnya sebab semua orang tahu Penasihat Dap ini hanya mengeluarkan pandangan yang bersifat peribadi bukan pendirian parti Dap.

“Jadi tak perlu Pas terlebih seronok dengan terus memasang angan-angan. Boleh jadi Pas sendiri yang mencari peluang untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

“Hatta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun menegaskan tiada jemputan darinya kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, maka tak salahlah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berpesan kepada Pas supaya ‘jangan perasan’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, Khairil perlu bersikap lebih profesional dengan menjadi pembangkang yang sihat dalam Malaysia Madani dan tidak hanya bermain politik.

Menurutnya lagi dengan hujah dangkal yang cuba dicetuskan hanya akan memupuk kebencian kepada mana mana pemimpin dan parti.

Menyentuh berkenaan keputusan UMNO bersama Kerajaan Perpaduan, Syed Mohd Johan berkata Khairil perlu sedar dan akur bahawa punca UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan adalah gara-gara kesombongan Perikatan Nasional (PN) yang menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Setelah koalasi PAS-PPBM (PN) menolak titah cadangan Baginda, tidak timbul lagi sebarang isu sama ada Ahmad Zahid menipu atau tidak.

“Sebaliknya, memikirkan demi kepentingan negara, UMNO sanggup mengenepikan keputusan awal untuk berperanan sebagai pembangkang dan memutuskan untuk akur pada titah cadangan Yang di-Pertuan Agong tersebut,” ujar beliau.

Terdahulu, Khairil Nizam berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang berkata, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu jangan perasan dipelawa menyertai Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.