Pemuda UMNO Tekad Terus Dekati Anak Muda – Shahrul Nasrun

KUALA LUMPUR, 10 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin berpandangan aspek yang paling utama untuk dilaksana oleh parti adalah mendekati anak-anak muda khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, hanya UMNO yang mampu menjadi daya tarikan kepada rakyat terutama pengundi muda terutamanya dalam usaha untuk menyokong kembali dan memilih parti pada PRN ini.

“Ini adalah merupakan cabaran pertama kepada kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh bersama barisannya iaitu mendepani PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi dan kurang dari 100 hari.

“Misi pada kali ini adalah untuk mendekati anak muda dan barisan kepimpinan iaitu berusaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa pentingnya pengetahuan, kefahaman, ketahuan dan informasi yang tepat berkenaan polisi dan dasar pada negara.

“… dan ini amat penting kerana anak muda perlu memilih wakil rakyat yang tepat, benar-benar jujur serta ikhlas dan jangan memilih wakil rakyat mengikut perasaan dan hawa nafsu,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga mengekalkan jawatan exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi kali kedua ini turut yakin dengan kepimpinan baharu akan mampu menarik kembali sokongan anak muda.

“Saya yakin dengan kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dan rakan-rakan yang lain dapat membantu dan menarik kembali sokongan anak muda pada UMNO.

“Yang jelas kepimpinan sayap ini akan membawa Pemuda selari dengan matlamat dan perjuangan UMNO sebenar,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.