Wan Rosdy Seru Ahli Parti Untuk Terus Istiqamah, Teruskan Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh ahli parti untuk terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan UMNO dapat diteruskan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan yang telah memberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023/2026.

“Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan takdirnya saya dipilih sebagai Naib Presiden UMNO Sesi 2023-2026 pada Persidangan UMNO Bahagian-Bahagian yang berlangsung serentak seluruh negara pada 18 Mac 2023.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua perwakilan yang telah memberi sokongan, kepercayaan serta memberi saya satu daripada tiga kerusi jawatan ini.

“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutamanya jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini. Tanpa bantuan ini tidak mungkin saya berupaya untuk mencapai kemenangan yang penuh bermakna ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang turut mengakui bahawa kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu menuntut agar ahli dan akar umbi bersatu serta memberikan kesetiaan demi kebangkitan parti.

“Walau bagaimanapun, kejayaan ini merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk saya membantu Presiden, Timbalan Presiden serta seluruh kepimpinan UMNO terutamanya dalam keadaan parti yang cukup getir ketika ini.

“Kekalahan UMNO pada PRU15 yang lalu menuntut seluruh ahli untuk rapatkan semula saf perjuangan, perkukuhkan kembali persaudaraan serta berikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar UMNO mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, berbekalkan pengalaman yang ada beliau yakin bahawa kekuatan parti keramat ini boleh dikembalikan bagi memastikan ianya sentiasa relevan di mata rakyat.

“Berbekalkan pengalaman saya dalam mentadbir kerajaan dan juga parti, insya-Allah, saya akan gunakannya untuk membantu bagi membina semula kekuatan UMNO agar parti keramat ini kembali bangkit serta kekal relevan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi PRU Ke-16 nanti.

“Oleh itu, saya berharap agar seluruh ahli UMNO terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan pertembungan lapan calon berentap untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023/2024.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menerima 127 undi manakala diikuti dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (116) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (110). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.