Pemilihan UMNO 2023: Proses Cabutan Undi Calon Hari Ini, Kehangatan Semakin Terasa

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pemilihan UMNO 2023 semakin terasa kehangatannya memandangkan proses cabutan nombor undi calon-calon di peringkat pusat akan diadakan pada hari ini.

Bertempat di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, cabutan nombor undi calon-calon tersebut akan dilaksanakakan seawal jam 12.00 tengahari.

Cabutan undi akan dilakukan oleh calon ataupun wakil calon. Namun, sekiranya calon tidak dapat menghadirkan diri maka Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) akan melaksanakan cabutan nombor bagi calon-calon berkenaan.

Cabutan nombor undi nombor bagi calon-calon Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan dimulakan pada jam 12.00 tengahari mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa.

Seterusnya, akan diadakan proses cabutan undi nombor untuk calon-calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada jam 2.00 petang mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa.

Pada jam 4.00 petang, giliran calon-calon Wanita UMNO untuk membuat cabutan undi nombor mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa.

Proses cabutan undi nombor untuk calon-calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan bermula pada jam 5.00 petang mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli MKT.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon yang bakal bertanding bagi peringkat pusat untuk menghadirkan diri sepuluh minit awal bagi memudahkan proses cabutan nombor undi.

“Saya harap semua pihak yang terlibat akan hadir dalam sepuluh minit sebelum bermulanya cabutan nombor bagi calon-calon berkenaan.

“Calon boleh hadir sendiri ataupun ditugaskan kepada wakil calon. Maknanya, satu orang sahaja yang akan masuk ke dalam auditorium ketika kita mengadakan cabutan ini.

“Bagi mereka yang tidak dapat menghadirkan diri, apabila nama dipanggil urusetia akan membuat cabutan bagi pihaknya,” katanya kepada UMNO Online.

Kesemua keputusan cabutan akan dipamerkan pada skrin televisyen di dalam auditorium dan senarai penuh keputusan cabutan serta nombor undian bagi setiap calon akan dipaparkan dalam laman sesawang www.umno-online.com.my bermula 3 Mac 2023 (Jumaat). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.