Kepimpinan Tertinggi UMNO Telah Perjelas Hala Tuju Parti Semasa PAU – Isham Jalil

KUALA TERENGGANU, 5 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menjelaskan bahawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini kepimpinan tertinggi telah jelas menyatakan hala tuju parti ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ini kerana katanya, akar umbi UMNO haruslah pandang ke hadapan dan melihat hala tuju yang dibawa oleh kepimpinan pusat.

“Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah membentangkan hala tuju yang jelas serta membincangkan perkara tersebut terutamanya apabila berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan begitu juga dengan ‘post mortem’ selepas PRU. Banyak perkara telah dibincangkan dan paling penting sekarang tentang hala tuju dan melaksanakannya.

“Pada awalnya ‘mood’ ahli UMNO semakin menurun selepas pilihan raya lalu namun kini situasinya cukup berbeza apabila kepimpinan parti telah berjumpa dan memberi pencerahan kepada akar umbi maka semangat ahli parti semakin meningkat.

“Sedikit demi sedikit semangat ahli UMNO telah kembali menyinar walaupun parti ini telah kalah pada pilihan raya lalu. Namun negeri-negeri yang bakal hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini seperti Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang semakin baik malah tidak terkecuali juga semangat ahli parti semakin baik termasuk Terengganu dan Kelantan,” beliau berkata demikian ketika majlis isu-isu penerangan yang diadakan di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku serta kepimpinan empat peringkat seluruh negeri.

Dalam pada masa sama, Isham turut mempertikaikan tindakan kepimpinan tertinggi Pas Terengganu yang memberikan dana kepada pengundi masa pilihan raya lalu.

“Apa yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan Pas negeri Terengganu ini apabila pilihan raya lalu memberi ‘duit’ kepada pengundi. Sepatutnya mereka memberi dana berkenaan iaitu ‘ifitri’ masa menyambut hari raya tetapi ketibaan perayaan ini masih lambat lagi tetapi mereka beri dana itu masa pilihan raya.

“Ini adalah salah satu perkara yang sewajarnya dipersoalkan dan ianya salah satu rasuah politik yang nampak dan jelas dilakukan oleh mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.