Usul Tidak Tanding Dua Jawatan Tertinggi UMNO Tidak Langgar Perlembagaan Parti

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tiada pelanggaran perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat ketika Perhimpunan Agung 2022 baru-baru ini, yang melibatkan kelulusan usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang.

“Semua berjalan dengan teratur. Sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan presiden dan timbalan. Sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun umur UMNO jawatan itu tidak dipertandingkan,” katanya dalam satu kemas kini di laman Facebooknya hari ini.

Dua hari lepas, Ahmad berkata UMNO memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Katanya beliau telah menemui Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad dan timbalannya di Putrajaya berhubung isu itu.

Ia susulan tindakan dua ahli UMNO pada 20 Jan mengemukakan aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan tersebut yang didakwa tidak sah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.