OP Murni: Pasukan 6 RRD Telah Digerakkan Untuk Pindahkan Mangsa Banjir – Mohamad Hasan

JOHOR BAHRU, 25 Jan – Seramai 40 orang mangsa banjir melibatkan enam buah keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Baru Sungai Mas sekitar jam 5.00 petang semalam oleh pasukan 6 Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pasukan tersebut telah dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam atur gerak OP Murni di Kawasan Tanggung Jawab (KTJ) Kota Tinggi yang berisiko terjejas akibat banjir.

“Seramai 40 mangsa banjir melibatkan enam buah keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Baru Sg. Mas sekitar jam 5.00 petang pada 24 Januari 2023 oleh pasukan 6 RRD.

“6 RRD telah dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam atur gerak OP Murni di KTJ Kota Tinggi yang berisiko tinggi terjejas disebabkan oleh banjir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya lagi, formasi 7 Briged sentiasa bersiap siaga untuk digerakkan dalam menyempurnakan OP Murni terutamanya dalam membantu rakyat bagi menghadapi musibah banjir.

 

“Formasi 7 Briged sentiasa siap siaga untuk diatur gerakkan dalam melaksanakan OP MURNI bagi membantu menghadapi bencana banjir yang melanda di negara ini,” katanya lagi.

Setakat jam 8.00 pagi tadi media melaporkan bahawa Banjir di negeri ini semakin buruk dengan mangsa banjir terus melonjak kepada 3,612 daripada 1,014 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS di lima daerah.

Ia berbanding hanya seramai 2,912 mangsa daripada 833 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS di empat daerah, setakat tengah malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.