UMNO Perlu Segera Urus Perang Persepsi Untuk Terus Mara

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Menangani persepsi dan mengatur langkah untuk terus membina parti selepas keputusan hambar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara yang dilontarkan oleh ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri Datuk Zahida Zarik Khan berpendapat UMNO perlu segera menguruskan perang persepsi yang dilemparkan terhadap parti itu termasuk dakwaan memiliki pemimpin kotor sekiranya ingin terus melangkah ke hadapan.

Zahida berkata sekiranya ia tidak diuruskan sebaiknya, naratif negatif itu akan kekal terbentuk dalam pemikiran rakyat sehingga mampu melupakan apa jua jasa dan khidmat bakti yang berikan parti sebelum ini.

“Kita kalah bukan kerana tidak cukup memberi khidmat, kita kalah kerana tidak mampu melawan perang persepsi yang mereka mainkan. Jadi ini masanya untuk kita perkemaskan askar media sosial kita dan membina kumpulan influencers (pempengaruh) yang boleh mengubah pemikiran anak muda dalam memberi keseimbangan di negeri-negeri yang menjadi sasaran kita.

“Saya menyeru pucuk pimpinan parti, berilah tumpuan kepada kaedah ini, berilah keutamaan untuk menguruskan perang persepsi ini kerana sepatutnya MEDSOS (media sosial) dijadikan teras utama parti secara keseluruhannya di semua peringkat,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda pula berkata kekalahan yang dialami UMNO pada PRU15 menuntut parti itu melakukan perubahan radikal bukan sahaja daripada segi orientasi tetapi juga gerak kerja.

“UMNO tidak boleh lagi berasa bangga dengan kekuatan jentera parti yang masih menggunakan pendekatan tradisional sedangkan musuh yang jauh lebih kecil jenteranya, mampu menewaskan kita dengan memanfaatkan teknologi komunikasi semaksimumnya.

“UMNO perlu terbuka untuk memahami pola pemikiran rakyat jelata hari ini. UMNO mesti sedar bahawa perubahan kehendak rakyat adalah terlalu pantas seiring dengan kepantasan teknologi masa kini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata UMNO juga perlu berani beradaptasi mengikut iklim politik semasa serta bersedia mengubah strategi dan pendekatan untuk memikat hati dan minda pengundi tanpa meleburkan prinsip perjuangan agama dan bangsa.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula menarik perhatian apabila berkata kekalahan parti itu pada PRU15 adalah akibat permainan persepsi yang dahsyat pelbagai pihak selain angkara sebahagian ahli “yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri”.

Selain itu, Ahli Parlimen Parit Sulong tersebut mencadangkan supaya UMNO melakukan pembersihan dalaman secara menyeluruh tanpa kompromi, mengatur gerakan berstrategi untuk memberi didikan dan kefahaman politik matang dengan menyegerakan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, beliau juga senada dengan Zahida dan Asyraf Wajdi agar penguasaan media sosial parti lebih dilihat, berkesan dan penting melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.