Cabaran PRU15 Jadi Pembakar Semangat Skuad Sayang Terus Dekati Masyarakat – Noraini

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh parti sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak mematahkan semangat Skuad Sayang Kebangsaan bahkan ianya menjadi pencabar serta pembakar semangat untuk skuad tersebut terus mendekati masyarakat.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Wanita UMNO khususnya Skuad Sayang perlu bekerja lebih keras dalam menghadapi iklim politik yang semakin mencabar dan bersedia melakukan gerak kerja lebih berkesan.

“Pelbagai cabaran dan rintangan yang kita hadapi sepanjang PRU ke-15. Namun ianya tidak pernah mematahkan semangat dan sepatutnya menjadi pencabar serta pembakar semangat untuk Skuad Sayang berkerja lebih keras mendekati masyarakat.

“Iklim dan suhu politik masa kini semakin sukar untuk kita ramal dan tidak menentuk. Kita perlu bersedia untuk melakukan gerak kerja yang lebih berkesan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Penghargaan Skuad Sayang, petang tadi.

Jelasnya, platform Sukarelawan Skuad Sayang telah membuka peluang bagi individu luar bersama skuad tersebut melaksanakan aktiviti kebajikan di pentas ideologi politik.

“Melalui platform Sukarelawan Skuad Sayang ini, kita juga telah membuka peluang untuk menjemput individu, kumpulan ataupun organisasi bagi bersama Skuad Sayang, membantu melaksanakan aktiviti kebajikan yang memberi perkhidmatan kepada kerja-kerja amal yang kita laksanakan di pentas ideologi politik.

“Melalui platform ini juga, saya tahu majoriti Skuad Sayang yang hadir pada hari ini menyusun startegi untuk mengenal pasti dan menjadikan golongan Wanita sebagai Duta Kecil Melati dan sudah semestinya kita harus menjadikan mereka ini sebagai agen untuk menghempaskan usaha kebajikan dalam elemen masing-masing,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noraini turut mengingatkan Skuad Sayang agar menggunakan pendekatan yang menyentuh naluri masyarakat dan berharap agar skuad ini terus mara dalam memikul amanah perjuangan.

“…yang penting, pendekatan sentuhan nurani, memahami kehendak dan naluri masyarakat terutamanya di akar umbi adalah paling berkesan untuk kita laksanakan.

“Insya-Allah, Skuad Sayang Kebangsaan akan terus mara sebagai satu pasukan yang mantap dan padu dalam memikul amanah perjuangan,” katanya lagi.

Skuad Sayang Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 2009 bagi menyahut saranan Presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat adanya peningkatan semangat sukarelawan dalam membuat kerja kebajikan dan membantu masyarakat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.