Pecutan Terakhir Persiapan PAU… Kemeriahan Mula Terasa

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Pusat Dagangan Dunia (WTC) sudah mula terasa kemeriahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) apabila kelihatan para tenaga kerja mula sibuk memasang hiasan di seluruh pelosok tempat untuk menyambut kehadiran para perwakilan yang dijadualkan akan tiba seawal jam 9.00 pagi esok.

Tinjauan UMNO Online mendapati warga kerja yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak masih dalam proses penyempurnaan tugasan di peringkat akhir untuk acara perhimpunan terbesar ini.

Salah satu kelaziman PAU sebelum era pandemik COVID-19 juga telah kembali iaitu gerai-gerai jualan yang akan mewarnai PAU sepanjang empat hari berlangsung.

Difahamkan, sebagai 95 buah gerai akan dibuka dan pelbagai produk jualan bakal diniagakan seperti tekstil, produk kesihatan, bahan bacaan, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), makanan serta minuman.


Tidak dilupakan juga, ruang legar di hadapan skrin besar di aras dua pasti akan sesak dipenuhi ahli, penyokong dan pengunjung dari seluruh negara bagi mendapatkan informasi mengenai hala tuju parti lebih-lebih lagi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Hujung minggu lalu, raptai penuh acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa telah diadakan di Plaza Merdeka, di bawah pemantauan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan yang dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap pergerakan diiringi lagu rasmi masing-masing dan seterusnya disusuli dengan lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas bagi meminda perlembagaan pada hari Jumaat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.