UMNO Perlu Bangkit Agar Diterima Semua Masyarakat – Dr Patawari

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Ketua Penerangan Kelab Bersetia Bersahabat Malaysia Ahmad Zahid Hamidi (AZH) Sabah, Datuk Dr Patawari Patawe berpandangan pimpinan UMNO di semua peringkat sama ada di bahagian mahu pun negeri dijadikan penaja semula sebelum pemilihan parti.

Tegasnya, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan haruslah diberikan tanggungjawab untuk menyusun semula UMNO.

“Kita mesti bermula dari zero dan yakin UMNO akan bangkit serta di terima semula oleh seluruh lapisan rakyat.

“Oleh kerana kekalahan yang begitu teruk maka tindakan memulihkan mungkin terpaksa di lihat drastik dan semestinya berstrategi untuk memulihkan dan memperkuatkan semula UMNO di semua peringkat akar umbi dan pimpinan.

“Pentadbiran UMNO haruslah berpusat di Ibu Pejabat UMNO dan tidak perlulah ada keistimewaan pada mana-mana negeri yang memungkinkan rasa iri hati daripada negeri-negeri lain,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Dr Patawari lagi, UMNO perlu berubah dan tidak mustahil ianya akan kembali bersinar di masa akan datang.

“UMNO perlu melakukan perubahan secara total, tidak mustahil parti ini boleh kembali dan terus memberi keyakinan kepada rakyat dan parti ini kena berubah jika ia benar-benar ingin berubah.

“Walaupun berbagai badai melanda, UMNO semakin teguh perjuangannya dalam membela nasib agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.