Hala Tuju UMNO Selepas Pasca PRU15, Kukuhkan Kembali Sokongan Rakyat – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Sebagai parti politik yang sudah cukup matang di Malaysia, UMNO perlu mengorak hala tuju politik ke arah mengukuhkan kembali sokongan rakyat, kata peguam yang juga aktivis politik dan masyarakat, Adzly Ab Manas.

Jelas beliau, pengalaman dan ketokohan seseorang yang akan menjadi penentu dan benar-benar boleh menerajui serta memacu hala tuju parti ke arah sinar baharu.

“Hala tuju kepimpinan ini perlu ditonjolkan kepada rakyat Malaysia dan peluang ini akan dapat disaksikan apabila selesainya nanti permilihan parti diperingkat Cawangan, Bahagian dan Pusat.

“Hanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang mampu menterjemahkan signal diperingkat bahagian serta mengambil kira pandangan dari akar umbi kerana ia merupakan amalan tradisi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Melihat situasi senario politik semasa, UMNO perlu mengukuhkan parti ini dan menyelesaikan segala kemelut yang terjadi selepas pasca Pilihan Raya Umum (PRU ) ke 15,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA) menjelaskan UMNO perlu bangkit kembali selepas PRU 15.

“Data menunjukkan UMNO/BN semakin kurang mendapat sokongan rakyat. PRU15 kita hanya menang 30 kerusi sahaja dan ini amat ‘alarming’ serta harus segera bangkit dan terus diyakini oleh masyarakat.

“Jangan dilupakan bahawa persediaan ke arah menang kalah UMNO/BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu yang boleh berlaku pada bila-bila masa.”

Katanya lagi, ia merupakan kayu ukur paling dekat sama ada UMNO berjaya menambat kembali hati rakyat atau sebaliknya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.