Laksana Langkah Drastik Perkasa Parti, Kekal Berstrategi Teruskan Perjuangan UMNO – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan bahawa UMNO memerlukan suatu langkah drastik dalam memperkasakan parti keramat ini bagi memastikan perjuangan berterusan relevan terutama mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Katanya, post-mortem sebaiknya perlu dilakukan bagi mengenalpasti penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam meraih sokongan rakyat kepada UMNO.

“Parti ini kena kembali semula tetapi kena ada post-mortem barulah kita boleh bergerak terus untuk pastikan UMNO ini relevan, masa PRU16 nanti kita boleh bertanding paling kurang 100 kerusi kalau kita berangan-angan hendak jadi dominan… kalau tidak, entah apa jadi kepada kita.

“Ya, sudah ada kerajaan baharu sekarang namun mustahak untuk kita lihat Barisan Nasional (BN) ini daripada 145, tinggal 125, kemudian 79 dan sekarang 30 kerusi. Jadi PRU16 nanti kita nak tinggal berapa kerusi lagi?

“Maksudnya kita buat pendekatan dari sekarang iaitu dengan baiki parti, penjenamaan semula, tarik orang minat semula semua ini perlu difikirkan oleh pucuk pimpinan dari hati yang jujur, ikhlas. Kita kena buat kajian mengapa sebahagian rakyat menolak UMNO sedangkan parti ini banyak berjasa kepada negara, bangsa dan rakyat tentu ada hal-hal tertentu sebab orang tolak UMNO, jadi kita kena banyak berubah untuk pastikan parti ini relevan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online, baru-baru ini.

Menambah lagi kepentingan itu, Dr Azhar berkata pada ketika ini peningkatan pengundi baharu juga semakin hari bertambah jadi strategi bagi UMNO perlu dilakukan termasuk menerusi pendidikan.

“Jadi tidak ada pilihan selain memperkasakan parti kita mulai sekarang ini, setiap hari ada anak-anak muda cukup 18 tahun terdaftar dengan automatik sebagai pengundi, jadi siapa hendak jaga mereka?

“Kita kena ada sesuatu menarik untuk bawa mereka ke arah BN, apa caranya? Mungkin dengan penjenamaan semula ilmu pengetahuan wajib yang perlu diberi kepada mereka, berkenaan pembinaan negara bangsa, sekolah-sekolah politik seperti mana yang saya bawa pada Perhimpunan Agung UMNO, mesti kena buat daripada sekarang.

“Apa yang menarik mereka adalah isu-isu yang terkini untuk generasi ini, jadi perlu tahu kehendak mereka dalam keadaan sekarang ini, hari ini kita bercakap tentang Tiktok blast sehingga ke ratusan ribu, mungkin kemudian hari ianya tidak digunakan lagi malah muncul applikasi yang lebih baru pula, maknanya UMNO kena menjangkaui masa bagi orang minat,” katanya.

Tambah beliau, sikap saling menyalahkan antara satu sama lain tidak sepatutnya berlaku kerana ianya akan menyulitkan perpaduan yang perlu dijaga pada ketika ini.

Beliau bagaimanapun juga percaya bahawa, pucuk kepimpinan parti akan melaksanakan usaha sebaik mungkin dalam memberi nafas baharu kepada perjalanan parti.

“Jadi kena buat post-mortem kalau masih menyalahkan orang, parti tidak akan sampai ke mana, kita kena jujur kepada diri dan parti.

“Kalau masih sayang kepada parti bagi nyawa untuk parti ini jadi perlu lakukan sesuatu.

“Saya yakin pucuk pimpinan tentulah memikirkanya lebih daripada perbincangan kita ini, kalau kita kata sayang kepada parti mereka sudah tentu berpuluh kali sayang.

“Jadi sebagai ahli parti setia kita kena berubah, kalau tak masa yang akan ubah jadi ianya akan jadi kenang-kenangan sahaja,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.