Jangan Derhaka, Penubuhan Kerajaan Perpaduan Perlu Dijunjung – Dr Akmal Salleh

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata rakyat Malaysia telah menunaikan tanggungjawab apabila memilih parti yang mereka rasakan wajar untuk menjadi kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang baharu sahaja selesai.

Jelasnya, dalam proses demokrasi ini, untuk pertama kali dalam sejarah, tiada satu pun parti mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi menubuhkan kerajaan, maka secara asasnya, dua gabungan yang teratas dalam kutipan kerusi wajar mengadakan perbincangan bagi tujuan menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) tidak wajar melengahkan perbincangan ini kerana agenda pembangunan negara serta pembelaan rakyat semakin tertangguh selagi tiada sebuah kerajaan mentadbir negara.

“Titah perintah Yang di Pertuan Agong kepada kedua gabungan ini untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan perlu dijunjung dengan penuh taat setia kerana agenda yang lebih besar iaitu kepentingan rakyat Malaysia perlu diutamakan.

“Kebijaksanaan Tuanku yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya wajar dihormati dan dipatuhi oleh kedua PH dan juga PN. Gabungan ini perlu segara mencari titik persamaan untuk segera menyelesaikan kemelut yang kini telah menjadi permasalahan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka menjelaskan keengganan Pengerusi PN membuka pintu rundingan dengan PH ternyata mengeruhkan keadaan dan seakan telah derhaka ke atas titah perintah Tuanku Agong.

“Jelas di sini PN meletakkan agenda politik mereka lebih tinggi daripada kepentingan rakyat sehingga sanggup membelakangkan titah perintah Tuanku Agong.

“Oleh yang demikian, saya menyeru dan memohon kepada PN dan juga PH kekal setia sebagai rakyat terhadap Raja untuk segera duduk berunding selari dengan titah perintah Tuanku Agong bagi menyelesaikan permasalahan yang semakin meruncing ini,” jelas beliau.

Dalam apa jua keadaan kata Dr Akmal lagi, PH dan PN perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat Malaysia dan pembangunan negara sebagai agenda utama mereka.

“Sekarang bukanlah waktu untuk mempamer ego atau kekuatan politik parti masing-masing tetapi ini adalah masa untuk menunaikan janji yang mereka berikan kepada rakyat ketika kempen tempoh hari.

“Apa jua alasannya, adalah tidak wajar untuk sesiapa menderhaka ke atas titah perintah Tuanku Agong dan kedua gabungan ini perlu segara mengadakan perbincangan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti yang telah diperintahkan sebelum ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.