Tolak Parti Lain, Pembangunan Jauh Lebih Pesat Jika BN Mentadbir

JOHOR, 16 Nov – Gerak kerja di negeri Johor akan lebih membangun jika wakil rakyat yang dipilih tediri daripada calon Barisan Nasional (BN).

Menurut calon BN Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir Hasni Mohammad, melihat kepada kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai wakil rakyat daripada BN, maka keadaan menjadi lebih baik sekiranya wakil rakyat di peringkat Parlimen turut dipilih daripada parti yang sama bagi memudahkan sebarang perbincangan.

“Kita ada wakil BN di hampir semua kawasan dalam Parlimen Simpang Renggam, iaitu di DUN Layang-Layang dan DUN Machap, maka atas sebab itu adalah wajar Parlimen Simpang Renggam menjadi kawasan keutamaan apatah lagi banyak potensi yang ada bergantung kepada kerajaan negeri dan pusat.

“Jika kerajaan pusat juga daripada BN, saya rasa pembangunan akan jauh lebih cepat dan pesat. Namun, jika silap buat keputusan untuk tidak menjadikan calon BN sebagai wakil rakyat di sini, pembangunan ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai lawannya dari Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik, Hasni berkata, wakil rakyat diukur keupayaannya bukan hanya kehadiran pada musim Pilihan Raya Umum (PRU) semata-mata.

“Namun, wakil rakyat yang lepas terlalu banyak berpolitik dengan melompat dari satu parti ke parti lain sehingga berada dalam tiga buah parti dalam tempoh hanya empat tahun.

“Keadaan ini membuatkan rakyat di sini terabai sedangkan mereka mengharapkan wakil rakyat yang sering berada bersama-sama mereka.

“Namun, wakil rakyat ini mengisi masa hanya berpolitik siang dan malam menyebabkan rakyat hampa,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.