Satu Undi Amat Bermakna, Penentu Masa Depan Negara – Nawawi

LANGKAWI, 16 Nov – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berharap rakyat membuat kewajaran yang sepatutnya dalam memilih pemimpin serta parti yang bakal membawa hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membawa signifikan dan pengajaran yang tersendiri kerana menyaksikan pertama kali parti selain Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

“Pada pendapat saya PRU14 memberi pengajaran yang cukup bernilai kepada rakyat bahawa kita mesti menggunakan kuasa undi untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil dan berkemampuan menjalankan agenda negara demi membawa pembangunan ekonomi juga masyarakat di negara ini.

“Saya dapat rasa bahawa rakyat akan kembali menyokong BN dan tidak akan melakukan eksperimen kerana ianya menyebabkan kita mempunyai tiga Perdana Menteri dalam masa tidak sampai lima tahun yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana negara di dunia,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi berkata sepanjang 22 bulan negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pelbagai kegagalan dilakukan mereka dek kerana tiada pemimpin yang berpengalaman sepenuh dalam mengurus hal negara.

Menurut beliau, PH juga gagal dalam membawa pelaburan ke dalam negara sekaligus tidak mewujudkan peluang pekerjaan baharu khususnya kepada anak muda.

“PH menyebabkan ramai pelabur bimbang untuk melabur sumber kewangan mereka berbilion masuk ke negara ini bagi membina kilang-kilang, akhirnya mereka lari ke negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Vietnam.

“Jadi benda ini berentetan hasilnya disebabkan satu iaitu salah undi menyebabkan semuanya hancur saya lihat graf Bursa Saham Kuala Lumpur daripada 1,890 jatuh setiap hari kerana Lim Guan Eng tidak pandai urus ekonomi negara, setiap hari tidak pernah naik sampaikan jatuh ke 1,200 dalam masa 22 bulan.

“Dalam 22 bulan itu menyebabkan negara kita tidak mendapat mata yang terbaik dalam pelaburan langsung asing (FDI) lalu tidak ada sumber pekerjaan yang baik kepada siswazah yang keluar dari universiti,” ujarnya.

Sepatutnya kerajaan PH mencipta lebih banyak lagi kilang-kilang untuk mewujudkan peluang pekerjaan profesional seperti jurutera, akauntan, peguam dan sebagainya bagi memberi peluang kepada anak-anak muda, tambahnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.