Pertukaran Kerajaan Pusat/Negeri Perlu Dijadikan Pengajaran, Pilih Kestabilan

BAGAN SERAI, 16 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol, Nazirul Jamaluddin berharap rakyat mengambil pengajaran daripada pertukaran kerajaan yang berlaku di peringkat negeri dan Persekutuan.

Katanya ini kerana, ketidakstabilan yang berlaku menjejaskan ekonomi negara dan negeri sekaligus turut sama memberikan kesan kepada rakyat.

“Saya yakin BN akan menjadi kerajaan stabil bila mana diberi tanggungjawab, ada kestabilan dalam kerajaan negeri dan Persekutuan sebabnya ia sangat penting kalau tiada kita punya pelabur nak masuk takut, kalau tidak ada kestabilan politik akan jadi kucar-kacir.

“Kalau tengok keadaan sebelum ini negeri Perak bertukar-tukar Menteri Besar, kita tidak mahu jadi macam itu rugi kepada masyarakat, peluang-peluang anak muda juga akan terkesan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai berkata, rakyat di kawasan ini perlu memberi peluang kepada UMNO/BN untuk berkhidmat kepada mereka memandangkan DUN Gunung Semanggol ini sudah 15 tahun berada di bawah Pas.

“Alhamdulillah diberikan amanah yang besar pada saya untuk pikul tanggungjawab di Gunung Semanggol setelah tiga penggal BN kalah. Kali ini insya-Allah kalau dilihat pada momentum sokongan daripada masyarakat ruang itu sudah terbuka,” ujar beliau.

Menurut Nazirul, pelbagai perancangan telah dirangka beliau kepada rakyat di kawasan ini khususnya meliputi menjana ekonomi penduduk termasuk golongan muda serta pelancongan.

“Aspirasi saya cukup besar untuk pastikan dijadikan kawasan pertanian untuk memudahkan bantuan kepada golongan ini, Gunung Semanggol ini adalah luar bandar jadi internet ini memang capaian cukup rendah jadi bantu saya untuk diberi amanah untuk bawa liputan internet yang tinggi.

“…dari segi anak muda untuk sukan esport ini memang kita lakukan kerana setiap bulan saya adakan program sebegini bagi pastikan untuk melonjakkan sebagai satu punca ekonomi kepada anak-anak muda.

“Saya malah yakin untuk lakukan eko-pelancongan bila mana tidak ada pun satu tempat untuk dijadikan rekreasi, perlu ada untuk pastikan tempat sebegini demi memastikan peniaga-peniaga dapat menjaga pendapatan,” katanya.

Malah tambahnya, sebelum ini juga sejak lima tahun beliau menganjurkan kursus kemahiran kepada anak-anak muda dan suri rumah bagi memastikan mereka menjana pendapatan sampingan.

Untuk rekod, Nazirul pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan tiga penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.