Calon BN DUN Manjoi Fokus Tingkatkan Ekonomi Peniaga Kecil, IKS Dan Pelancongan

IPOH, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi Datuk Azizul Kama Abd Aziz memberi komitmen mahu mengembangkan ekonomi peniaga-peniaga kecil dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan itu dengan menaik taraf infrastuktur mereka.

Begitu juga ujarnya, kemudahan-kemudahan yang ada di kawasan-kawasan pelancongan perlu ditambah baik supaya ia menjadi tarikan pengunjung dan seterusnya mampu menyemarakkan ekonomi setempat.

“Saya melihat sektor ekonomi IKS dan juga makanan potensi yang kita boleh tambah baik. Gugusan Manjoi ini saya selalu sebut sebagai ‘syurga makanan’. Ramai datang daripada luar sebagai contoh di Taman Saz, Silibin ada Suhaimi Café bila ditanya pengunjung ada datang dari jauh seperti Nilai, Putrajaya, Pulau Pinang dan sebagainya.

“Mereka datang hanya untuk merasakan makanan-makanan yang ada di kawasan Manjoi. Saya merasakan ini satu potensi yang cukup besar… cuma dari infrastuktur kemudahan gerai-gerai, pelesenan, kebersihan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika ditemui di majlis bersama pesara kerajaan Gugusan Manjoi di Bilik Gerakan Kampung Manjoi Baru di sini baru-baru ini.

Ulasnya lagi, selain Manjoi yang terkenal dengan pembuat kuah kacang jenama Jamilah Mansor yang telah berjaya memasuki pasaran negara Asean, pengusaha kecil-kecilan juga perlu dibantu.

“Selain Jamilah Mansor, ada juga yang membuat kuah kacang kecil-kecilan yang orang tidak tahu. Inilah antara produk-produk Manjoi yang boleh dipromosikan bersama. Manjoi batik, selipar capal yang berskala kecil. Ini antara IKS yang kita boleh tingkatkan potensinya,” katanya.

Azizul juga bercita-cita mahu mewujudkan sebuah pusat inkubator untuk pengusaha kecil-kecilan mempromosikan produk mereka.

“Mungkin saya boleh letakkan pusat-pusat inkubator di Manjoi, Meru Raya dan Klebang. Saya melihat tiga kawasan ini ada potensi untuk dijadikan satu ‘one stop centre’ kepada peniaga-peniaga untuk menggunakan inkubator mempromosikan produk mereka ke luar.

“Geografi DUN Manjoi ini luas, maka lokasi (inkubator) perlulah strategik untuk tarik perhatian kelompok dari Manjoi, Meru Raya dan Klebang. Ia juga boleh dibuat dengan kerjasama agensi-agensi contohnya seperti STeP (Sekretariat Usahawan Negeri Perak), SME Bank dan beberapa GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang ada,” jelas pemegang Ijazah Sarjana Sains Ekonomi dari University of North Texas itu lagi.

Manakala dalam aspek pelancongan, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh itu berkata ia juga antara keistimewaan yang ada di Manjoi.

“DUN Manjoi juga ada potensi aspek pelancongan. Pasca COVID ini ramai orang berjalan dan kalau di sini air terjun Ulu Chepor yang cukup terkenal tetapi telah ditutup tiga empat tahun ini, ia boleh dipromosikan untuk menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“Sama juga lombong-lombong yang ada di dalam Manjoi. Mungkin ada yang mempunyai landskap yang cantik boleh dinaik taraf sebagai pusat-pusat rekreasi,” katanya.

Manakala berhubung dengan kempen Pilihan Raya Umum (PRU15) ini, Azizul yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun berusaha sebaiknya akan bertemu seramai mungkin dan kerap dengan pengundi terutama di kawasan tumpuan orang ramai.

DUN Manjoi menyaksikan pertandingan tiga penjuru di mana Azizul akan berhadapan dengan calon dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.