Pendidikan, Infrastruktur Termasuk Sukan Agenda Utama Sollehin

BUKIT GANTANG, 15 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie memberi penekanan kepada beberapa aspek penting untuk dibangunkan sekiranya beliau mendapat mandat rakyat pada 19 Nov ini.

Katanya, ini meliputi kepentingan pendidikan di kawasan ini yang menjadi agenda utama beliau bagi memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada mendapatkan hak pembelajaran.

“Saya mahu mengubah anak bangsa dalam 10 tahun akan datang terutamanya melalui sistem pendidikan. Sudah tentu bagi kawasan luar bandar seperti ini pendidikan adalah aset paling penting untuk mengubah daya fikir anak muda serta generasi akan datang.

“Sebab itu bagi saya membantu pihak sekolah adalah penting, bukan sekadar menjaga infrastruktur sekolah tetapi juga membantu dari segi kehadiran pelajar ke sekolah, itu yang pertama,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dalam pada masa sama berkata pembangunan infrastruktur juga menjadi perhatian beliau untuk dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan ini.

“Begitu juga dengan pembangunan infrastruktur dalam kawasan iaitu jalan raya, perparitan serta kompleks sukan kerana di sini tidak ada yang lengkap jadi agak sukar sebab bila hendak buat program dan sebagainya terpaksa bergantung di Taiping jadi tiba masanya untuk fokus bangunkan kompleks sukan di kawasan Parlimen ini.

“Kita juga mahu baiki talian internet di sini, boleh tengok di kawasan Kampung Terong sangat teruk. Ini saya rasa perkara yang perlu kita titik beratkan sebab bagi saya dalam hendak menerjah ke 5G tapi masih ada kawasan yang teruk jadi kita perlu tangani untuk pastikan para pelajar gunakannya,” ujar beliau.

Mohammad Sollehin juga memaklumkan bahawa sekiranya beliau menjadi wakil rakyat, penduduk di Bukit Gantang ini akan memperolehi maklumat terperinci melalui laporan mengenai setiap perbelanjaan daripada bajet yang diperolehi di peringkat Parlimen.

“…ianya akan dihurai dan diberi segala perinci laporan kepada setiap rakyat apa sahaja gaji, elaun yang saya dapat akan dihuraikan untuk semua orang dapat lihat,” katanya.

Untuk rekod Mohammad Sollehin pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional dan Pejuang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.