Kerajaan Stabil Diperlukan Tangani Kegawatan Ekonomi… MPN Ternyata Gagal – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata gagal untuk menangani krisis ekonomi yang melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpendapat, sebuah kerajaan yang kuat dan stabil amat diperlukan lebih-lebih lagi apabila dunia akan berdepan dengan kegawatan ekonomi tahun hadapan.

“Bagaimana MPN nak berjalan kalau ia dikendalikan oleh satu parti yang bergantung kepada parti-parti lain untuk melaksanakannya? Kalau ianya melibatkan sehingga tiga hingga empat parti yang ternyata tidak sehaluan dan mencari kredit daripada apa yang dilakukan, ianya tidak akan dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Semua tahu bahawa menjelang tahun depan dunia akan mengalami kegawatan ekonomi yang besar. Semua ini tak mungkin akan dapat diatasi kalau tidak ada sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

“Hanya UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai track record dari segi mengendalikan pelbagai krisis yang dihadapi sebelum ini dan Insya-Allah kita juga akan mampu mengendalikan kalau ada krisis besar melanda negara di masa hadapan,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Menurut beliau, rakyat terutama sekali yang berada dalam komuniti perniagaan merasakan keperitan semasa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan Perikatan Nasional (PN) apabila banyak projek dibatalkan serta pelabur tidak berani untuk melabur.

“Saya banyak bertemu dengan rakan-rakan sekali dalam komuniti perniagaan. Mereka merasakan betapa peritnya bulan pemerintahan PH selama 22 apabila bisnes dan pasaran saham merudum. Kita merasakan banyak perkara yang tidak menentu terjadi.

“Banyak projek besar dibatalkan seperti ECRL, HSR dan Pan Borneo di Sabah. Banyak projek kecil lain juga semua terhenti semata-mata mereka (PH dan PN) nak buang legasi yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini. Tetapi impaknya, pelabur tak datang dan orang yang mendapat bisnes, bisnes mereka tidak berjalan.

“Jadi mereka tahu dan serik. Bersama dengan kerajaan yang tidak menentu seperti PH dan PN, mereka akan mengalami kesusahan serta kesengsaraan yang berterusan. Mereka tidak mahu mengulanginya dan percaya bahawa mereka mahukan kerajaan yang stabil, satu parti yang besar iaitu BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut berpendapat bahawa parti Gerakan Tanah Air (GTA) tidak memberikan apa-apa kesan kepada BN kerana gerakan itu diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak lagi dipercayai oleh rakyat.

“Saya rasa GTA tidak memberi apa-apa kesan. Mereka hanya boleh mengeluarkan kenyataan dan sebagainya. Rekod yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, mereka hilang semua deposit.

“Saya rasakan kalau tanya PH kenapa mereka tidak dapat laksanakan janji dan manifesto mereka yang lepas, semua disalahkan kepada pemimpin GTA terutama sekali Tun Dr Mahathir kerana ini salah beliau. Jadi, siapa lagi nak percaya pada Tun Mahathir dalam janji-janji baharu mereka dan keupayaan mereka untuk mengendalikan negara ini?

“Semua tahu bahawa Tun Mahathir hebat. Hebat kerana ada UMNO/BN yang mendukungnya selama 22 tahun dahulu. 22 bulan tanpa UMNO/BN, pemimpin yang hebat macam mana pun tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk menerajui negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.