Hanya Ahli Parlimen UMNO/BN Berupaya Bawa Suara Rakyat Langkawi

LANGKAWI, 15 Nov – Sebagai sebuah pusat pelancongan terkemuka dan bertaraf antarabangsa, Langkawi ternyata mempunyai imejnya tersendiri di samping memainkan peranan penting kepada ekonomi rakyat di kawasan ini.

Nor Aziah Jaafar, 47 tahun seorang pengusaha pelancongan berpandangan hanya di bawah dukungan Barisan Nasional (BN) dapat meningkatkan lagi infrastruktur di pulau lagenda ini.

Beliau malah percaya, calon UMNO/BN, Datuk Armishah Siraj akan melakukan penambahbaikan di kawasan ini kerana banyak perkara tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh ahli Parlimen sebelum ini.

Katanya, ini kerana kemudahan infrastruktur di sini diabaikan dan tidak mencukupi dalam memberi penerangan kepada pelancong berkenaan undang-undang yang perlu dipatuhi mereka.

“Lihat sahaja sepanjang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) berapa papan tanda had kelajuaan kenderaan yang ada?

“Pengunjung ke sini mesti datang membeli-belah, tapi penerangan berkenaan had barangan yang boleh dibawa pulang itu tidak ada.

“Perkara sebegini sebenarnya sedikit sebanyak memberikan kekeliruan kepada pelancong yang datang, mereka bukannya tidak mahu ikut peraturan tapi sebenarnya tidak dimaklumkan melalui papan-papan tanda sebagai peringatan,” katanya.

Sementara itu, bagi Azlee, 37, beliau pada masa sama berharap kerajaan baharu melalui Ahli Parlimen kelak dapat menangani sebaiknya gejala perkhidmatan ‘ulat’ yang berleluasa sejak sekian lama.

Katanya, kewujudan perkhidmatan ‘ulat’ oleh individu tidak bertanggungjawab ini mencantas perniagaan yang berlesen dan bertindak mengambil untung atas angin.

“Mereka ini juga sudahlah buat pekerjaan seperti itu, tambah memburukkan keadaan memperdaya pengunjung, kenakan deposit kemudian tak kembalikan semula.

“Sudah la tidak berlesen kemudian macam-macam pakej sekali ada seperti kereta sewa, hotel, waterpark dan lain-lain… maknanya mereka ini semuanya makan seorang,” ujar beliau.

Bagi Adnan Alias, 50 tahun beliau berharap kerajaan mendengar luahan penoreh getah yang berhadapan kesukaran akibat harga getah sekerap yang menurun.

Tambah Alias perkara ini memberikan kesan kepada kos sara hidup golongan itu yang sudah diketahui datang daripada latar belakang mereka yang hanya bekerja kampung.

“Di Langkawi ini iaitu Pulau Tuba ini tidak banyak penoreh getah, dengan harga RM2.10 sekilogram mereka tidak ada semangat untuk turun kerana tidak sepadan dengan usaha mereka.

“Jadi untuk galakkan mereka menoreh kerajaan perlu naikkan harga sekerap dengan berpatutan iaitu sesuai mengikut keadaan sebab kalau mahal ada kes sosial lain pula yang terjadi iaiti kecurian dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau juga pada masa sama percaya hanya wakil rakyat daripada BN sahaja berupaya membawa suara mereka di Dewan Rakyat kelak. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.