Calon Baharu, Anak Tempatan Beri Kelebihan Kepada BN Merbok

MERBOK, 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meluahkan keyakinan dengan kelebihan dimiliki dirinya iaitu sebagai calon baharu serta anak tempatan.

Shaiful berkata ini kerana, sudah semestinya beliau sebagai anak tempatan mengetahui isu-isu tertentu yang menjadi permasalahan kepada rakyat.

“Penerimaan rakyat sangat baik, aura positif ada di sini dan ditambah dengan kerja kuat, istiqamah dan doa saya yakin dipilih sebagai wakil rakyat.

“Sebagai calon anak tempatan sudah tentu kita tahu permasalahan yang dihadapi, itu yang paling penting kalau calon terjun sana terjun sini kemungkinan besar dia tidak mengetahui isu tempatan kerana PRU ini adalah berkenaan rakyat.

“Sudah tentu saya mempunyai keterujaan, keazaman yang tinggi bukan menafikan calon lama itu tidak bersikap sebegitu tetap situasinya berbeza, dicalon dan sekiranya dipilih saya bersedia untuk berkhidmat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkata, strategi UMNO/BN mengetengahkan calon baharu juga seakan menepis dakwaan pihak tertentu yang beranggapan bahawa parti ini tidak membuka peluang kepada kepimpinan generasi baharu.

“Persepsi kepada UMNO adalah sebuah parti yang usang, dikemudi oleh pemimpin politik lama jadi apa yang telah dibuat UMNO/BN dengan menukar calon lama kepada baharu harus diterima dan disambut baik oleh semua.

“Bagi saya itu adalah keputusan sukar tetapi ianya harus dilakukan, pemimpin harus bersedia kerana tak semestinya kalau hendak buat sesuatu itu disukai,” ujar beliau.

Untuk rekod, Shaiful pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional, Pejuang dan Warisan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit