Pihak Lawan Perjudi Nasib Mereka… Naratif Banjir Nilai Tambah Buat BN

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) telah memperjudikan nasib mereka dengan menggunakan naratif banjir sehingga tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri jajahan takluk mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sekiranya apa yang diramalkan oleh mereka tidak berlaku sama sekali, sudah pastinya ia akan memberi nilai tambah kepada UMNO/BN sekaligus merosakkan kepercayaan rakyat kepada pihak lawan.

“Kami mempunyai keyakinan yang bertambah kuat setiap hari kerana pihak lawan terutama sekali PH dan PN terlalu memperjudikan nasib mereka tentang apakah pada tanggal 19 November akan berlaku banjir besar ataupun tidak.

“Kalau tidak berlaku banjir dan orang masih boleh mengundi seperti biasa mereka akan mengalami kerugian yang besar dari segi imej dan prestasi keyakinan rakyat terhadap diri mereka.

“Mereka telah membuat satu pertimbangan yang besar untuk tidak membubarkan DUN di negeri mereka kuasai kali ini dengan meuar-uarkan bahawa pilihan raya tidak boleh diadakan ekoran akan berlaku banjir besar,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Menara Dato Onn, hari ini.

Menurutnya, alasan banjir digunakan untuk mengelakkan mandat dipulangkan kepada rakyat sebagai satu helah bagi menutup kelemahan mereka mengendalikan negeri-negeri tersebut.

“Kita ada enam hari untuk melihat perkara ini. Apakah ramalan mereka benar dan tepat? Perkara ini telah memberikan kekuatan kepada kami terutama sekali di negeri-negeri yang ditandingi misalnya di Kelantan, Terengganu atau Kedah contohnya di negeri dikuasai Pas.

“Sekiranya mereka mempunyai prestasi yang baik dalam mengendalikan negeri-negeri tersebut, mengapa mereka tidak bubarkan DUN untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat? Alasan yang mereka gunakan hanyalah banjir, banjir dan banjir,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, selain daripada isu banjir, naratif mereka tidak mahu membubarkan DUN dan ingin mengadakan pilihan raya berasingan sudah tentu akan memberikan kesan negatif.

“Naratif mereka tidak mahu membubarkan dan ingin mengadakan pilihan raya lain lagi selepas ini sudah tentu akan memberikan kesan yang negatif kepada mereka. Isu yang mereka pernah bawa seperti tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya sudah tentu akan dinilai kembali semakin hari semakin hampir kepada tarikh pilihan raya pada 19 November ini.

“Ini semuanya akan memberikan kekuatan kepada kita. Ini adalah antara naratif yang menjadi kekuatan kepada jentera penerangan dan keupayaan komunikasi kita kepada rakyat selepas ini,” katanya lagi.

Setelah gagal menghasut rakyat dengan naratif ‘UMNO penyamun perompak’, pembangkang telah memulakan naratif baharu dengan mengaitkan pembubaran parlimen adalah langkah ‘tidak bertanggungjawab’ kerana ia akan berlaku sewaktu musim banjir besar yang akan menyusahkan rakyat dan mengancam nyawa serta harta benda

Selain pelbagai konten dalam platform sosial media, pembangkang turut mengadakan siri-siri demonstrasi skala kecil mengajak rakyat untuk terpengaruh dengan naratif terbaharu berkenaan Pilihan Raya Umum (PRU) di musim banjir ini bagi meraih simpati kepada mereka seterusnya membenci UMNO/Barisan Nasional (BN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.