Sokongan Masyarakat India Kepada BN Semakin Positif, Terus Meningkat – Mohamad

SEREMBAN, 11 Nov – Sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN) semakin positif dan diyakini akan terus meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 Nov ini.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan itu jelas dilihat semasa berkempen bagi PRU15 dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

“Peningkatan peratusan sokongan (terhadap BN) adalah daripada masyarakat India. Di Melaka contohnya naik 28 peratus, besar peratusannya. Di Johor juga corak itu diteruskan.

“Bahasa tubuh dan sambutan (daripada kaum India) amat menggalakkan. Kalau PRU14 apabila nampak logo BN, mereka cuba mengelakkan diri. Kali ini jelas mereka amat mesra dan tunggu kedatangan BN. Ini akan diterjemahkan pada PRU kali ini,” katanya kepada pemberita di Taman Permata di sini.

Mohamad yang juga calon Parlimen Rembau berkata beliau yakin pada pilihan raya kali ini, sokongan masyarakat India akan menjadi dukungan utama kepada BN, terutama di kerusi kawasan marginal.

Sementara itu, calon BN Parlimen Port Dickson, Datuk P. Kamalanathan berkata walaupun turun sebagai calon ‘payung terjun’ pada pilihan raya kali ini, penerimaan pengundi, khusus masyarakat India adalah positif.

Beliau berkata semasa kempen pilihan raya, penduduk setempat berbilang bangsa memberi respon positif, mesra serta berkongsi pendapat tentang pembangunan, pendidikan dan ekonomi di daerah itu.

“Tidak ada tekanan sama sekali, saya berasa amat bersyukur kerana saya telah bertemu dengan ramai penduduk dan tiada seorang pun memberikan tekanan kepada saya malah mereka berikan semangat,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Lukut, Port Dickson.

Dalam pada itu, Kamalanathan menerusi kempen pilihan raya ini turut memberi penjelasan kepada penduduk mengenai perancangan BN yang mahu menjadikan Port Dickson sebagai hab pelancongan yang lebih kompetitif.

Bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor itu berkata beberapa isu lain yang perlu ditangani segera di pantai peranginan popular negara itu antaranya masalah banjir, jalan raya, banjir dan kemudahan dan kebersihan tandas awam.

Kamalanathan bekas Timbalan Menteri Pendidikan akan berdepan saingan lima penjuru membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (Pakatan Harapan), pelakon dan pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang), dan dua calon Bebas Rafiei Mustapha serta Abdul Rani Kulup Abdullah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 Nov sebagai hari pengundian manakala undian awal diadakan pada 15 Nov. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.