Shafiq Tumpu Bidang Pendidikan Kembalikan Maruah Larut, Yakin BN menang

LARUT, 10 Nov – Dilahirkan di Batu Kurau dan membesar di Larut, Shafiq Fhadly Mahmud, calon muda UMNO menjadi taruhan terbaik Barisan Nasional (BN) untuk menawan hati pengundi muda berusia 18 tahun hingga 40 tahun di Parlimen Larut.

Berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang kejuruteraan petroluem termasuk merantau di negara timur tengah, Abu Dhabi memberinya semangat dan ilham untuk pulang menabur bakti serta membantu membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

Bagaimanapun, bagi jurutera Petroleum berusia 37 tahun ini, pembangunan dan limpahan ekonomi hanya akan bermula dari sektor pendidikan – yang mengubah nasib beliau pada hari ini.

“Sebagai calon anak muda sudah pasti komitmen saya untuk bantu anak tempatan khususnya di Larut, anak-anak muda yang hari ini agak ‘struggle’ dalam bidang pendidikan, dalam bidang kemahiran, dalam bidang pekerjaan.

“Ini perlu diberi fokus kerana dengan pendidikan sajalah yang mampu untuk ubah nasib anak bangsa kita. Saya mahu pastikan pendidikan diberikan fokus sangat besar di daerah Larut ini kerana dengan pendidikan juga yang mengubah saya seperti hari ini,” katanya.

Syafiq berkata, oleh kerana terlalu banyak program pembangunan di Larut tergendala dan kurang diberi perhatian oleh wakil rakyat sebelum ini hinggakan ramai anak muda terpaksa bekerja di luar kawasan antaranya berulang ke Kulim, Kedah.

“Kenapa tidak anak-anak muda kita bekerja di Selama kalau ada peluang (pekerjaan) itu. Janji saya, kita akan bantu untuk buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda Selama,” katanya.

Dengan tagline #HebatkanLarutkita, beliau berikrar akan merelealisasikan pembangunan Kolej Kemahiran Tinggi Mara – institusi pengajian tinggi pertama di Larut, yang telah tergendala sejak sekian lama.

“Di Selama ini dah dijanjikan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, dah lama dah pecah tanah, tapi tiada usaha nak selesaikannya,” katanya yang bersedia meneruskan tanggungjawab itu sekiranya dipilih pada 19 Nov nanti.

Akuinya, gelombang yang menyokong BN di Larut semakin bertambah khususnya dalam kalangan anak muda yang mahukan perubahan lebih besar.

Ujarnya, beliau mengambil cabaran itu untuk mengembalikan maruah Larut selepas Hamzah Zainudin, bekas Ahli Parlimen Larut tiga penggal mengkhianati mereka dengan melompat ke Bersatu ketika BN tumbang di peringkat pusat pada PRU 2018.

BN sebelum ini mempertaruhkan pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias untuk berdepan Hamzah di Parlimen Larut. Namun, Ustaz Kazim menarik diri pada saat akhir dan digantikan dengan Shafiq. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.