Azlan Man Tolak Dakwaan… Pengundi Lebih Tahu Siapa ‘Warlord’ Sebenar

KANGAR, 10 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Azlan Man menafikan dakwaan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengaitkan beliau sebagai ‘warlord’ dan menganggu sistem politik di negeri itu.

Menurut Azlan, beliau tidak pernah cuba mempengaruhi sesuatu keputusan yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata beliau, sebaliknya pengundi lebih mengetahui siapa ‘warlord’ sebenar dan Shahidan telah menunjukkan sikapnya sendiri sehingga sanggup berpaling tadah hanya semata-mata disebabkan parti tidak memenuhi kehendak peribadinya.

“Kalau nak label saya ‘warlord’ tak tepat langsung kerana saya tak pernah dilihat sebagai seseorang yang cuba untuk mempengaruhi sesuatu.

“Pengundi lebih tahu siapa ‘warlord’ dan siapa Shahidan Kassim. Sekarang orang dah nampak bagaimana sikap beliau yang sebenarnya,” katanya sewaktu turun bersarapan bersama penduduk di Kampung Salang, di sini, hari ini.

Turut sama program itu adalah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, Saiful Daniel Mohd Yusof.

Shahidan sejak kebelakangan ini seringkali mengkritik kepimpinan Azlan dan turut menyifatkan Menteri Besar Perlis itu mengamalkan sikap ‘warlord’ untuk menjatuhkannya, selain menggangu sistem politik di negeri itu.

Dalam pada itu, Azlan turut menyifatkan Shahidan sebagai pengkhianat kerana sanggup memilih untuk bersama pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

“Sebelum ini, dia (Shahidan) pernah meminta pemimpin BN yang tidak tersenarai sebagai calon untuk reda dengan keputusan parti namun beliau kini dilihat bertindak sebaliknya dan cuba untuk melawan kehendak takdir,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai momentum BN di Perlis setakat ini, Azlan yang merupakan penyandang DUN Bintong turut memaklumkan sokongan pengundi buat parti itu dilihat semakin meningkat menjelang hari pembuangan undi pada 19 November nanti.

Tambahnya, BN telah menampilkan ramai calon muka baharu di negeri ini yang mempunyai kelayakan terbaik untuk memberikan perkhidmatan buat rakyat sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

“BN sasarkan untuk mempertahkan sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN di Perlus yang dimenangi sebelum ini dan akan fokus merampas kawasan-kawasan yang tewas,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.