Ustaz Sham Fokus Lima Inisiatif Untuk Dungun

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Dungun Nurhisham Johari tampil dengan lima fokus untuk masyarakat di kawasan itu.

Nurhisham yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Sham berkata, walaupun Dungun mempunyai pelbagai kemudahan tetapi masih banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian khusus antaranya seperti peluang pekerjaan, membangunkan kawasan pelancongan dan pelan pembangunan kawasan.

“Besar harapan saya untuk membangunkan Dungun yang dicintai ini dengan pelbagai kemajuan dan kemudahan buat seluruh rakyat yang dihormati dan dikasihi.

“Di sini, kita ada perumahan, ada pertanian, ada pusat komersial, ada tanah lapang dan rekreasi, ada kawasan perindustrian, ada sungai, pantai, lagun, ada hutan, ada institusi pendidikan tinggi dan rendah, ada kemudahan infrastruktur.

“Begitu juga kita ada jalan pengangkutan yang menghubungkan ke seluruh Dungun, dan ia bersambung kepada lebuhraya utama Lebuhraya Pantai Timur (LPT) selain laluan pantai menuju ke Kuala Terengganu mahupun Kuantan. Dalam pada kita bersyukur mempunyai kemudahan dan keselesaan nun di sana, ada yang masih terpinggir,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Dungun itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambahnya antara lain fokusnya adalah mengenai taraf hidup penduduk dan modal insan.

Akuinya lagi, walaupun fokusnya itu bukan menyeluruh, tetapi beliau tidak mahu cuma retorik dalam menjanjikan bulan dan bintang.

“Saya mahukan realiti terhasil dan rakyat dapat menikmati kebaikan yang dijanjikan kepada mereka. Itulah usaha kecil saya buat warga Dungun yang dikasihi ini. Terutamanya para pemuda dan pemudi yang mempunyai potensi besar dalam memimpin dan membangunkan Parlimen Dungun kelak,” katanya.

Berikut merupakan lima fokus Ustaz Sham:

1. Peluang pekerjaan bagi anak muda.

Umum mengetahui, generasi kini mempunyai isu tentang pengangguran dek kerana peluang pekerjaan yang terhad dan tidak besar di Dungun kerana kekurangan pelabur yang dapat melabur membina kilang, pusat industri ataupun perniagaan yang dapat dimanfaatkan oleh para anak muda. Semakin kurang peluang pekerjaan, makin ramai yang akan keluar atau membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak membina diri.

Justeru, besarlah harapan saya untuk mengembalikan kegemilangan Dungun sebagai salah satu bandar ekonomi bagi memberikan anak mudanya peluang yang besar untuk meningkatkan taraf hidup sendiri dan keluarga yang perlu ditanggung.

2. Membangunkan kawasan pelancongan.

Eco-tourism adalah salah satu cabang pendapatan yang lumayan bagi sesebuah negeri dan ia merupakan sumber utama bagi menggalakkan kedatangan pelancong sekaligus memakmurkan industri pelancongan dan perniagaan di sekitar.

Insya-Allah, saya mempunyai banyak idea dalam membina infrastruktur dan prasarana serta promosi bagi Dungun yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan seperti pantai, lagun, sungai, hutan dan bukit untuk diterokai. Tidak termasuk makanan tempatan yang memukau dan membangkitkan selera para pengunjung.

3. Pelan pembangunan Dungun.

Dulu ada Pelan Pembangunan Dungun Membangun yang diinisiatif dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Dungun daripada BN Dan dianggotai oleh ketua-ketua jabatan dan ahli korporat dari Dungun/Terengganu bagi merencanakan Pelan pembangunan tersebut.

Kesan daripada pelan tersebut lahirnya Jambatan Seberang Pintasan yang menghubungkan Seberang Pintasan dengan Kuala Dungun. Kita berjaya mewujudkan MRSM. Kita bina hospital. Kita membuat pendalaman sungai-sungai untuk mengelakkan banjir dan kita bina Veledrom yang sinonim dengan penduduk Dungun yang mempunyai gaya hidup sihat dan aktif dalam sukan.

Maka, saya akan mengusahakan untuk mewujudkan kembali Pelan Pembangunan Dungun Membangun ini dan akan menjaga prasarana yang sedia ada mahupun membina yang akan datang.

4. Taraf hidup penduduk.

Bukan semua penduduk di Daerah Dungun senang dan mempunyai pendapatan yang tetap. Ada yang terpaksa berlapar kerana ketiadaan pendapatan. Ada yang atapnya runtuh membahayakan nyawa. Ada yang terpinggir jauh di pedalaman.

Saya akan pastikan apabila saya terpilih, kebajikan para penduduk akan terjamin dan masing-masing di segenap lapisan akan mempunyai sara diri yang baik walaupun pada peringkat asas. Kita akan mewujudkan komuniti yang cakna tentang perihal penduduk. Apa jua masalah yang dihadapi oleh rakyat, saya akan pastikan sampai kepada saya melalui wakil-wakil yang dilantik dan saya akan bertindak menjadi pemudah cara bagi memberikan kemudahan, keselamatan dan keselesaan kepada penduduk Dungun.

5. Modal insan.

Untuk membentuk masyarakatnya berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri, suka untuk saya maklumkan bahawa kita akan mengadakan pelbagai inisiatif melalui kursus yang akan disediakan, pameran, kelas dan seminar bagi membuka mata masyarakat Dungun akan peluang yang tersedia baik melalui online mahupun offline yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan dalam era dunia digital kini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.