Saya Anak Tempatan, Calon Muda ‘Depa Tau Nak Undi Siapa’ – Hasmuni

KUBANG PASU, 7 Nov – Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hasan meluahkan keyakinan dengan kelebihan dimiliki dirinya iaitu sebagai calon baharu serta anak tempatan di kerusi Parlimen Kubang Pasu.

Beliau berkata sebagai anak tempatan berasal dari Jitra manfaat tersebut akan digunakan sebaiknya apatah lagi mempunyai hubungan yang baik dengan rakyat terutama golongan muda di kawasan ini.

“Saya orang tempatan jadi anak-anak muda di Parlimen Kubang Pasu sudah kenal saya malah sinonim dengan nama Tok Muni hubungan dengan mereka sudah lama malah yakin ini depa tau siapa depa nak pilih,” katanya.

Hasmuni dalam pada itu turut berkata gelombang sokongan anak muda di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor memberikan indikator tersendiri terhadap sokongan UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Analisa yang kita buat di Melaka danJohor selepas PRN satu petunjuk bahawa pengundi muda di Melaka saluran diwakili anak muda menunjukkan bahawa golongan ini menyokong BN begitu juga dengan kemenangan di Johor,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau turut menghargai pendekatan dilakukan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mengetengahkan muka baharu pada PRU15 ini.

Sebagai calon, Hasmuni berkata amanah diberikan ini suatu yang bermakna kepada dirinya terutama dalam usaha memberi kemenangan kepada parti.

“Diberi amanah cukup besar daripada parti untuk kemudi BN dalam PRU15 buat diri saya insan yang begitu kerdil, bertatih dalam politik tetapi tanggungjawab diberikan kepada saya untuk membawa kejayaan kepada parti ini.

“Saya yakin dengan senario yang berlaku pada hari ini apabila Presiden mewajahkan UMNO/BN dengan wajah yang lebih segar dengan tambahan pula di sini melibatkan pertambahan pengundi melibatkan 61,000,” ujar beliau.

Hasmuni pada 19 Nov ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Pejuang.

Untuk rekod Kubang Pasu merupakan kubu kuat BN sejak awal PRU diadakan, namun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi tersebut pertama kali dimenangi oleh parti lawan pada PRU14.

PRU15 ini mencatatkan sejarah dalam senario politik Kedah apabila negeri ini menyaksikan hanya kerusi Parlimen dipertandingkan disebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.