Angin Perubahan PRU15 Dijangka Berlaku, Sokongan Kepada BN – Mahdzir

PADANG TERAP, 6 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjangkakan angin perubahan akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama terhadap sokongan rakyat kepada BN.

Menurut beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Terap berkata, jentera parti perlu bersiap-sedia untuk mendekati rakyat bagi memastikan sokongan kepada BN terutama di kawasannya.

“Kita ada 32 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan bekerja sebaiknya saya minta… kerana angin perubahan sudah ada pada kita sekarang, hendak panggil dan tiup kepada anak, cucu serta saudara-mara untuk kembali pada 19 Nov ini dan mengundi BN.

“Jadi saya minta kepada semua jentera parti di semua peringkat cawangan, PDM, bahagian dan seluruh kita dapat bekerja dalam 14 hari dan dapat bawa pengundi-pengundi keluar,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Terap berharap sepanjang menjalani tempoh berkempen ini tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Semua dapat bekerja dalam satu pasukan, saya nak minta dalam berkempen ini yang pertamanya kita buat kerja dan jaga disiplin, tidak ada provokasi sebab kita bukan seperti itu.

“Kita buat kerja, jaga orang yang sokong kita, tak mahu gaduh dengan sesiapa yang penting adalah kita dalam keadaan pilihan raya yang harmoni, aman damai, tiada masalah nak ceramah boleh, nak meraih undi.

“Saya juga minta di sebelah sana tidak ada provokasi, kita tidak mahu ada masalah dan hendak berada dalam keadaan baik kerana rekod menunjukkan bahawa BN bersih tidak ada masalah,” ujar beliau.

Untuk rekod Naib Presiden UMNO itu merupakan penyandang kerusi berkenaan sejak dua penggal, pada PRU14 beliau menang dengan memperoleh majoriti 1,099 iaitu secara keseluruhan 16,384 undi.

Pada ketika itu Mahdzir menewaskan calon Pas, Azam Aziz yang meraih 15,285 undi serta calon PKR, Khairizal Khazali yang memperoleh 7,254 undi.

Mahdzir sementara itu pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Pejuang.

Buat pertama kali dalam senario politik Kedah apabila PRU15 negeri ini menyaksikan hanya kerusi Parlimen dipertandingkan disebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.