Undi BN, Undi Tok Mat… Semarakkan Suasana Penamaan Calon Parlimen Rembau

 

REMBAU, 5 Nov – ‘Undi BN… Undi Tok Mat’ bergema di pekarangan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong pagi ini apabila calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba sebelum ke pusat penamaan calon parlimen kawasan berkenaan pagi ini.

Penyokong dan pendukung BN yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum serta seluruh pimpinan BN yang lain tiba awal pagi untuk sama-sama menyemarakkan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bermula hari ini.

Tok Mat yang diiringi kira-kira lebih 1,000 penyokong BN tiba di pusat penamaan calon Dewan Sri Rembau pada pukul 8.45 pagi dan sempat bersua muka dengan calon-calon daripada parti lain yang turut menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Terdahulu dalam ucapan ringkasnya di pekarangan Pusat Khidmat DUN Chembong, Tok Mat mengingatkan seluruh jentera parti untuk bergerak dengan sebaiknya apabila proses kempen bermula hari ini.

Kata beliau masa yang dinanti-nantikan telah tiba dan inilah waktunya untuk jentera parti bukan sahaja di parlimen Rembau malah seluruh negara untuk meyakinkan pengundi membuat pilihan yang terbaik pada PRU15 ini.

“Masa yang ditunggu telah tiba dan hari ini proses PRU15. Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada yang hadir pagi ini untuk memberikan sokongan. Maka mari kita bersama-sama seluruh jentera BN untuk bertemu pengundi dan minta mereka mengundi BN dan kembali  tadbir Putrajaya.

“Cukuplah 22 bulan negara dirosakkan dan terduduk hampir lumpuh dan diambil pula PN…. parlimen dilumpuhkan dan darurat diisytiharkan…inilah masanya untuk kita mohon mandat semula daripada rakyat.

“Cukuplah rakyat bereksperimen…. dulu nak bereksperimen setelah ada yang cakap pandai uruskan negara namun ternyata gagal akhirnya negara terjerumus teruk dan berlarutan hingga ke hari ini,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan jentera parti agar menjaga tertib dan mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan.

“Maka mari kita yakinkan pengundi Rembau dan seluruh negara…kita mempunyai pasukan yang mantap untuk uruskan negara. Kepada seluruh jentera jaga tata-tertib…patuhi undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.