Mahdzir Berdepan Empat Penjuru Di Padang Terap

PADANG TERAP, 5 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berdepan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan berkenaan pada 19 Nov ini.

Selain daripada Mahdzir yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.16 pagi, empat lagi lagi calon lain terdiri daripada Nurul Amin Hamid (Perikatan Nasional); Muaz Abdullah (Pakatan Harapan) dan Razali Lebai Salleh (Pejuang).

Mahdzir dalam pada itu ketika ditemui meluahkan keyakinan beliau untuk mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan pada PRUU15 ini.

“Sudah selesai penamaan calon oleh SPR di Parlimen Padang Terap, empat penjuru yang menyertai pilihan raya ini iaitu saya, calon PN, PH dan GTA.

“Insya-Allah saya adalah wakil rakyat di sini punya keyakinan yang tinggi untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap,” katanya ketika sidang media ringkas di hadapan Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Dan Tanah.

Sementara itu,Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen, Datuk Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata tiada calon yang ditolak borang pencalonan masing-masing.

Selesai pengumuman berkenaan, Mahdzir yang segak berbaju Melayu biru kemudiannya berjumpa dengan penyokong BN yang menunggu di luar pusat penamaan.

Untuk rekod Naib Presiden UMNO itu merupakan penyandang kerusi berkenaan sejak dua penggal, pada PRU14 beliau menang dengan memperoleh majoriti 1,099 iaitu secara keseluruhan 16,384 undi.

Pada ketika itu Mahdzir menewaskan calon Pas, Azam Aziz yang meraih 15,285 undi serta calon PKR, Khairizal Khazali yang memperoleh 7,254 undi.

Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan semula dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Bagaimanapun Kedah pada PRU15 ini menyaksikan hanya kerusi Parlimen dipertandingkan disebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubar. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.