Gabungan BN, GRS Dan GPS Mampu Bentuk Kerajaan Pusat

BILA saya tengok senarai calon dalam PRU 15 kali ini, maka saya merasakan bahawa gabungan BN – GRS – GPS akan membentuk kerajaan pusat dengan majoriti mudah. Tak perlu gabungan dari pihak lain.

2 kali sebenarnya kesilapan besar dibuat oleh PN – PPBM. Pertama, mereka meletakkan calon di parlimen Sarawak, sedangkan ia dibantah awal oleh GPS. Padahal itu semua kerusi yang sukar untuk menang.

Kedua, PAS Sabah telah melakukan perkara yang betul apabila menyokong calon gabungan GRS – BN di negeri itu. Tetapi hari ini, PN menghantar Ronald Kiandee untuk bertanding di Parlimen Beluran. Walhal kerusi itu telahpun diserah kepada calon BN berdasarkan perbincangan antara kedua parti.

Bila atas tiket PN, mestilah watikahnya ditandatangani oleh Pengerusi PN TS Muhyiddin.

Ini memberi dua signal. Pertama, PPBM akan khianat apabila mereka tidak boleh menjadi dominon. Kedua, ia meletakkan PAS Sabah dalam dilema. Jika kekal menyokong GRS – BN, mereka akan menjadi sahabat yang tidak setia. Jika menyokong PN pula, mereka akan dianggap memungkiri janji.

Berkawan sangat dengan orang gila. Ini penyakitnya.

Signal jelas GRS untuk bersama dengan BN terbukti apabila mereka menggugurkan 4 penyandang parlimen yang merupakan MP lompat sebelum ini.

Malah, kedua-kedua GPS dan GRS menyambut baik apabila Pengerusi BN mencadangkan 2 jawatan TPM untuk Sabah dan Sarawak. Tetapi tiada respon sama apabila DS Anwar menawarkan jawatan khas TPM untuk Malaysia Timur.

Di atas kertas berdasarkan keputusan PRN Sabah dan Sarawak, kedua-dua GRS dan GPS sudah boleh menjamin 42 kerusi parlimen (15 GRS dan 27 GPS).

Ia menjadi mudah kerana politik Malaysia Timur mementingkan parti tempatan. Tiada parti pembangkang tempatan yang kuat melainkan Warisan di Sabah. Mereka juga tidak terpengaruh dengan sentimen di Malaysia Barat.

Kerja BN hanyalah untuk menang minimum 69 daripada 167 kerusi di Semenanjung (termasuk Labuan).

Berdasarkan banyak kajian akademik termasuk dari think tank pro PN dan PH (cth Ideas dan Merdeka Centre), BN pada hari ini sedang menguasai sekitar 38% – 42% undi Semenanjung.

Kalau kita tengok keputusan di Melaka, BN hanya menguasai 38.9% undi popular tetapi menang 3/4 kerusi. Di Johor, mereka mendapat 43.1% undi tetapi menang 2/3 majoriti.

Jika tiada sebarang isu besar, dan jika PH dan PN masih memainkan naratif Zahid nak kawan dengan Anwar atau kluster mahkamah atau penyamun duit rakyat, tugas BN akan menjadi terlalu mudah.

Orang Terengganu kata semesek
—-
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.