UMNO/BN Akan Terus Kekal Berkuasa Di Pahang – Mohd Nizar

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yakin dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Pahang, peluang untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) terus kekal berkuasa di negeri tersebut amat tinggi.

Jelasnya, pemerintahan kerajaan negeri Pahang di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail jelas menunjukkan bahawa hanya dengan pentadbiran yang efisyen dan cekap, rakyat dapat dibantu secara keseluruhannya.

“Kami yakin dengan izin Allah, kita akan mencatat prestasi yang memberangsangkan kerana sepanjang tempoh lebih empat tahun ini saya rasa pemimpin kita di negeri Pahang telah melakukan yang terbaik.

“Buat pertama kalinya hasil kerajaan negeri telah mencecah RM1 bilion di mana ia belum pernah berlaku di mana-mana negeri. Jadi, ini telah membuktikan bahawa Menteri Besar kita, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail seorang pentadbir yang cekap dan efisyen,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Nizar berkata, sudah semestinya rakyat Pahang mahu mengekalkan kerajaan yang sedia ada setelah menerima pelbagai manfaat serta kemakmuran.

“Hasil daripada RM1 bilion ini dapat diagihkan semula kepada rakyat di negeri Pahang apabila terdapat pelbagai bantuan disalurkan kepada nelaya, golongan terjejas akibat COVID, penjaja kecil dan golongan B40.

“Jadi saya yakin apabila rakyat Pahang sendiri telah menikmati perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan UMNO/BN negeri Pahang, mereka akan memilih untuk mengekalkan perkhidmatan ataupun servis yang sedia ada,” katanya lagi.

Pahang merupakan salah sebuah negeri yang berjaya dikekalkan oleh UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu sekaligus membuktikan negeri ini kubu kuat parti itu.

Dengan segala usaha serta inisiatif untuk membantu rakyat yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pahang, peluang UMNO/BN bagi mengekalkan tampuk pemerintahan di negeri itu dilihat amat cerah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.