PRU15: Rakyat Perlu Kuburkan Legasi Keluarga Anwar Ibrahim di Permatang Pauh


KUALA LUMPUR, 4 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini sebagai platform terbaik untuk menolak PKR/Pakatan Harapan (PH) di kawasan tersebut.

Apatah lagi katanya, kerusi Permatang Pauh selama 20 tahun ini disandang dan hanya bertukar tangan dalam kalangan ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas lebih daripada 20 tahun Permatang Pauh ini berada dalam keluarga Anwar iaitu daripada beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kemudian kepada Nurul Izzah,” katanya.

Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian malah berkata sepanjang tempoh tersebut kemajuan telah dinafikan sekaligus memberi kesan kepada penduduk setempat terutama dalam kemudahan infrastuktur.

“Permatang Pauh begitu dahagakan pembangunan yang baharu untuk rakyat, saya selalu menegaskan kepada rakyat selama ini bahawa mereka perlu sedar kerana banyak masalah yang berlaku di sini adalah disebabkan dalam tempoh tersebut tidak ada perubahan dari segi pembangunan.

“Kesesakan jalan raya semakin teruk kerana jalan yang ada di situ adalah yang sama sejak 20 tahun lalu begitu juga dengan banjir masih lagi berlaku pada hari ini serta sekolah sama.

“Perkara ini telah menimbulkan kesusahan kepada masyarakat kalau tidak ada wakil rakyat yang memikirkan soal pembangunan tersebut maka Permatang Pauh akan ketinggalan berbanding dengan Parlimen lain yang ada dalam negeri Pulau Pinang ini

“Jadi wajib untuk rakyat melakukan perubahan dalam PRU15 ini jika ingin melihat Permatang Pauh kembali membangun setanding dengan kawasan lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.