Rejuvenasi Calon BN Bakal Realitikan Kemenangan Untuk PRU15 – Hariri

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Terungkai sudah senarai calon yang telah diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa malam

Sehubungan itu, Ketua Pemuda BN Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata calon-calon yang dikemukakan oleh Pengerusi BN ini merupakan satu pembaharuan dan rejuvensi bagi menubuhkan kerajaan Pusat yang stabil.

“Walaupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak dan penyokong namun ini satu bentuk pembaharuan dan rejuvenasi yang berani oleh Pengerusi BN dalam memberi kemenangan sekurang-kurangnya sembilan daripada 14 kerusi di Kelantan untuk menubuhkan kerajaan Pusat.

“Kita semua mestilah berjiwa besar dan berlapang dada dengan pilihan yang telah dibuat ini. Tentunya percaturan yang berbeza kali ini akan membuahkan hasil yang berbeza daripada sebelumnya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang menamakan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini dengan pelbagai latar belakang, berpengalaman serta wajah baharu.

“Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi BN Kelantan yang telah menamakan calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman serta muka baharu dan muka lama dengan mengambil kira keperluan serta keadaan politik semasa.

“Kepada calon-calon BN ini, buatlah sehabis baik dalam memenangi hati jentera dan pengundi. Calon BN yang berkempen sambil lewa akan dianggap seolah-olah mensabotaj amanah yang telah parti berikan kepada mereka.

“Junjunglah amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Selamat berkempen dengan berhemah. Tambatlah hati pengundi dengan aku janji yang menarik,” ujarnya.

Pada Selasa BN telah mengumumkan senarai calon yang bertanding di peringkat Parlimen dalam PRU ke 15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.