PRU15: Tiada Tempat Untuk Manifesto Pembangkang, Tolak Janji Manis – Hasni

 

ISKANDAR PUTERI, 3 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata tiada tempat untuk pembangkang memberikan janji manis mereka di negeri ini terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya ini kerana, berdasarkan pengalaman mengharungi 22 bulan selepas PRU14 ianya menjadi penanda aras hilangnya kepercayaan rakyat apatah lagi dengan kegagalan yang dilakukan ketika mentadbir.

“Di Johor hendak buktikan bahawa janji-janji manis pembangkang ini tidak ada tempat dan itu kita buktikan dengen pencapaian Ikhtiar BN.

“Kita tidak buat janji-janji manis cukuplah hanya menaman tebu di tepi bibir sahaja, cukuplah yang ada itu buat apa terima lagi itu membawa mudarat sahaja,” katanya.

Hasni berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera dan Manifesto BN Negeri Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Educity, Iskandar Puteri malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan kepimpinan lain.

Beliau malah berkata, kejayaan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu dalam melaksanakan Ikhtiar BN akan dijelaskan kepada rakyat bagi menunjukkan komitmen ke arah kemajuan negeri.

“19 November dari penamaan calon sehinggalah ke hari pembuangan undi Ikhtiar BN, pencapaian yang telah digarap oleh kerajaan negeri akan kita persembahkan kepada rakyat di seluruh negeri.

“Kita tak perlu pembangkang seperti itu, BN letakkan realistik inilah kelebihan sebagai jentera, jangan ragu-ragu untuk mengorak langkah ke hadapan bagi menyatakan kepada pengundi.

“Bahawa apa yang hendak diperkatakan dan dirancang oleh kerajaan negeri tidak lain daripada sesuatu yang realistik,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.