BNComms lapor Polis Dan SKMM, Selar Perbuatan Tidak Bertanggungjawab – Dazma

KUALA LUMPUR, 3 Okt  – Setiausaha Komunikasi Barisan Nasional (BNComms), Dazma Shah Daud hari ini menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab berhubung penularan dokumen palsu kononnya surat akujanji berkaitan sokongan untuk melantik Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana menteri.

Tegas beliau pihaknya telah pun membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan isu tersebut dan sebarang maklumat rasmi berkaitan parti hanya dikeluarkan menerusi platform rasmi BN, Komunikasi BN dan UMNO-Online.

“BNComms bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks isu politik yang melibatkan BN sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan laporan di SKMM mengenai peluaran dokumen palsu surat akujanji tersebut di Facebook dan Twitter yang mendakwa calon ahli parlimen dipaksa menandatangani surat sokongan untuk melantik Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri selepas PRU nanti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, keadaan tersebut bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan orang ramai malah akan turut menjejaskan nama pemimpin tertinggi parti.

“Sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan yang ketara dalam penyebaran maklumat atau berita palsu mengenai pemimpin mahupun daripada parti UMNO/BN. Perkara seumpama ini harus dikekang kerana ianya boleh menimbulkan suasana yang tidak sihat,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.