Jasa, Sumbangan Samsudin Di DUN Sekong Sentiasa Dihargai – PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Sabah Datuk Samsudin Yahya yang meninggal dunia petang semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Ismail Sabri mendoakan agar keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut.

“Jasa dan sumbangan beliau kepada pembangunan di DUN Sekong dan juga negara akan sentiasa dikenang dan dihargai.

“Mewakili seluruh Keluarga Malaysia, saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Difahamkan Samsudin, 67, tidak sedarkan diri dalam penerbangan ke Kota Kinabalu yang berlepas dari Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang dan punca kematian belum dipastikan.

Allahyarham dipilih sebagai ADUN Sekong selama empat penggal sejak 2004 selepas memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional dan merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi bagi penggal 2013-2016.

Samsudin meninggalkan seorang isteri dan empat anak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.