PM Umum Parlimen Bubar Hari Ini Bagi Beri Laluan PRU15

KUALA LUMPUR, 10 Okt  – Parlimen dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra pada 3 petang hari ini, satu pengumuman yang dinanti-nantikan banyak pihak selepas desas-desus mengenainya bertiup kencang sejak akhir September.

Ismail Sabri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari semalam (Ahad) bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan dan menerusi Facebook Live Perdana Menteri.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.,” kata beliau.

Ismail Sabri berharap rakyat menggunakan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.
Tempoh mandat kerajaan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen. – BERNAMA