Ragbi Jemputan 10 Sebelah Raub Gamit Makna Yang Istimewa – Fadzli

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Majlis Penutup Kejohanan Ragbi Jemputan Raub 10 Sebelah memberi makna yang amat besar kepada penggemar sukan itu apabila disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub semalam menampilkan pelbagai pasukan dan dimeriahkan dengan kehadiran peminat sukan terbabit.

Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal menerusi catatan di Facebooknya menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Raja Pahang yang mencemar duli bersama penggiat sukan berkenaan serta masyarakat setempat.

“Patik mewakili Persatuan Ragbi Daerah Raub menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Ragbi Jemputan Raub 10 Sebelah di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub, petang tadi.

“Sesungguhnya, kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke Kejohanan ini yang buat julung-julung kalinya diadakan, memberi nilai dan makna yang amat besar kepada patik sekalian,” katanya.

Fazli seterusnya menambah kejayaan pasukan Raub Rugby yang menjuarai kejohanan berkenaan menambahkan lagi kehangatan pertandingan tersebut yang berlangsung semalam.

“Tambah manis dan istimewa apabila pasukan Raub Rugby berjaya muncul Juara selepas menewaskan Ipoh Lions FC di perlawanan akhir.

“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan keafiatan berpanjangan, dilanjutkan usia serta senantiasa berada di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT. Aamiin.Raja dan Rakyat berpisah tiada. Daulat Tuanku!.” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.