Sikap Munafik Dan ‘Formula Auta’ Terbaharu Pembangkang Elak PRU15 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan pembangkang ketika ini menunjukkan sikap kemunafikan apabila sedang gigih memanipulasikan isu banjir kerana khuatir dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, mereka kononnya berkata mandat tidak boleh diserah semula kepada rakyat sekarang kerana pembangkang mahu menggembleng tenaga bersama kerajaan menghadapi kemungkinan banjir besar.

“Betulkah Ahli Parlimen pembangkang tidak kelihatan di kawasan Parlimen masing-masing yang dilanda banjir kilat di Johor baru-baru ini? Saya fikir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz yang mendedahkan perkara itu sudah tentu amat jelas mengenai apa yang berlaku di negeri itu.

“Ironinya semasa banjir kilat berlaku pembangkang tidak kelihatan, malah dalam kesibukan meneruskan kempen politik untuk menghasut kebencian bagi berdepan PRU15,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi pembangkang malah berkempen ke negeri dan daerah-daerah membawa ‘formula auta’ terbaharu.

Menurut Ahmad Zahid meskipun tempoh kempen belum bermula namun mereka kembali menjaja fitnah penipuan seperti mereka lakukan pada PRU14 lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat tidak perlu membuat petisyen untuk menyatakan enough is enough kepada pembangkang kerena mereka tidak akan tertipu lagi dengan helah yang dilakukan.

“Rakyat sudah boleh membaca muslihat dan fitnah penipuan pembangkang yang membantah PRU15 sekarang sebab memerlukan lebih masa sebagai `talian hayat’. Petisyen sebenar rakyat adalah menterjemahkan rasa meluat terhadap `kemunafikan’ pembangkang yang telah banyak merosakkan negara melalui peti undi.

“Seperkara lagi yang perlu diperjelaskan adalah pembangkang berterusan memainkan persepsi konon hanya Pengerusi BN yang mahu PRU15 diadakan sekarang. Propaganda sama mereka cuba persepsikan sebelum ini konon cuma Presiden UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Konon hanya Presiden UMNO berpandangan Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin gagal mentadbir negara dan wajar letak jawatan. Semuanya hanya Ahmad Zahid Hamidi,” ujar beliau.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi walhal kebenarannya adalah keputusan berkenaan merupakan pendapat dan kehendak akar umbi yang diputuskan secara musyawarah.

Katanya, ini juga termasuk keputusan untuk PRU15 diadakan segera kerana majoriti anggota masyarakat percaya tampuk pemerintahan yang stabil amat penting demi masa depan negara.

“Bukan baru hari ini BN bersama rakyat meminta PRU15, tetapi pembangkang berjaya melengah-lengahkan dengan pelbagai alasan dan manipulasi.

“PRU15 perlu diadakan untuk mengembalikan segera kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia yang terjejas teruk sejak 9 Mei 2018.

“PRU15 mustahak bagi membentuk sebuah kerajaan stabil, kukuh dan berdaya untuk membantu rakyat sekiranya banjir besar benar-benar berlaku hujung tahun.

“Juga untuk membentuk sebuah kerajaan yang progresif bagi membentengi Malaysia daripada risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.