PM Cipta Sejarah, Tekankan Soal Kuasa Veto Bawa Imej Keluarga Malaysia Ke Persada Dunia

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang pertama kali menggunakan Bahasa Melayu bukan sahaja mendapat tumpuan antarabangsa malah intipati ucapan yang turut menyentuh soal kuasa veto  turut menarik perhatian antarabangsa.

Exco Pemuda UMNO Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris dalam satu kenyataan berkata penekanan kepada kuasa veto sudah tentu menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana soal tersebut berkait dengan soal keadilan dan sebagainya.

“Malaysia mendapat tumpuan antarabangsa apabila Datuk Seri Ismail Sabri mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan PBB.

“Satu lagi yang mendapat pengiktiran antarabangsa adalah intipati ucapan YAB PM di mana beliau menekankan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB perlu dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi. Kalau kita lihat, kuasa veto ini sering disalahgunakan untuk kepentingan negara kuasa besar.

“Misalnya, pengunaan kuasa veto ini telah memberi impak negatif terhadap masyarakat Palestin yang menghadapi kezaliman rejim Israel sejak penubuhan negara Israel pada 1948. Pada tahun 2015, Russia telah menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang cadangan Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat MH17.Ketidakadilan ini perlu dihapuskan dan jelas melanggar prinsip utama penubuhan PBB,” katanya.

Kata beliau lagi, keberanian Perdana Menteri mengkritik ketidakadilan dalam PPB diiktiraf dan dihargai kerana tidak ramai pemimpin yang berani bersuara sepertinya, malah menerusi ucapannya beliau turut mencadangkan satu mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi menangani pelbagai isu ekonomi, antaranya cengkaman inflasi yang melanda dunia.

“Isu ekonomi ini adalah penting kerana saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain. Malaysia turut menegaskan komitmen dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.

“Selaras dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, Malaysia akan komited untuk mencapai status negara sifar pelepasan Gas Rumah Hijau seawal tahun 2050. Ucapan Perdana Menteri di PBB, bukan sahaja membawa identiti Melayu dan Malaysia di mata dunia, malah ucapannya bersifat yang inklusif itu menandakan Malaysia amat prihatin dengan situasi global.

“Selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, komuniti antarabangsa perlu bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia dalam menghadapi cabaran global. Kita telah membuktikan dengan konsep Keluarga Malaysia, negara kita berjaya bangkit pasca pandemik dan kini sedang mencipta sejarah dalam pelbagai kejayaan ekonomi, sosial dan politik.

“Konsep ini juga perlu diamalkan dalam PPB untuk mencipta keharmonian global dan memelihara keadilan. Perdana Menteri mengakhiri ucapannya dengan “United we stand, divided we fall”. Selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.