Rafizi: Kita Dengar Boleh, Percaya Jangan

Pertamanya, saya amat mengalu-alukan kedatangan Saudara Rafizi Ramli ke kota selatan tanah air ini. Keazaman dan semangat beliau ini amat saya kagumi.

Tetapi dalam pada beliau cuba untuk menanamkan keazaman dan semangat ini kepada warga Johor Bahru, usahlah ditanam bersama fitnah, tohmahan atau auta yang saya kira tidak selari dengan agenda politik baharu yang cuba dibawakan oleh Pakatan Harapan. Ketika saya turut sama mengikuti ceramah jelajah Ayuh Malaysia beliau malam tadi, ada beberapa perkara yang saya kira kita dengar boleh, tapi percaya jangan. InsyaAllah, warga Johor Bahru bijak untuk menilai.

Walaupun beliau ini nampak macam lebih pandai daripada saya dalam bab ekonomi, tetapi malangnya dalam banyak-banyak indikator ekonomi yang beliau pernah belajar, hanya kadar matawang yang merosot sahajalah yang beliau cakna.

Kononnya, kadar mata wang RM yang semakin menyusut berbanding USD merupakan petanda kerajaan BN gagal dalam menstabilkan ekonomi. Realitinya, kadar faedah yang semakin tinggi di US adalah punca kepada kemerosotan mata wang dunia hari ini bukan hanya Ringgit Malaysia tapi juga mata wang – mata wang negara lain. Adakah BN di negara lain juga gagal menstabilkan ekonomi negara mereka?

Tidak cukup dengan itu, fitnah beliau terhadap Tengku Zafrul pula, kononnya kaedah Kementerian Kewangan membandingkan keadaan ekonomi semasa dengan ekonomi negara ketika di dalam fasa pandemik amat tidak relevan.

Ini kerana yang pertama, kaedah inilah yang digunakan oleh Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) dalam mengukur pemulihan ekonomi Malaysia dan negara – negara lain di dunia. Menurut Bank Dunia, ekonomi Malaysia diunjurkan untuk bertumbuh pada kadar 5.5%, manakala IMF mengunjurkan ekonomi negara akan bertumbuh pada kadar 5.75%. Menggunakan kaedah dua badan dunia tersebut, Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan KDNK 5.3-6.3% bagi 2022.

Angka dan fakta di atas jelas menunjukkan bahawa setiap kenyataan dan sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan adalah berdasarkan penyelarasan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh IMF dan Bank Dunia, bukanlah formula atau statistik yang direka-reka hanya untuk menyedapkan hati rakyat. Malah untuk suku kedua 2022, ekonomi bertumbuh pada kadar 8.9% iaitu jauh lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan.

Ini jelas membuktikan resepi dan formulanya adalah kestabilan, yang kini dijanjikan oleh Barisan Nasional dan telah dibuktikan oleh Barisan Nasional Johor selepas PRN lalu. Sebagai contoh, pelaburan Negeri Johor pada separuh pertama tahun 2022 sahaja sudah mencapai jumlah RM60.9 Billion, dan jauh meninggalkan negeri – negeri lain termasuk negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan yang dianggotai Rafizi Ramli sendiri.

Ya, saya tidak nafikan melihat hanya pada satu atau dua indikator tidak menunjukkan realiti sebenar rakyat yang sedang sesak dihimpit bebanan inflasi. Kita akan terus komited melakukan yang terbaik untuk mengurangkan beban rakyat.

Bermula dengan Jualan Murah Keluarga Malaysia, hinggalah ke Menu Keluarga Malaysia di IPT, kerajaan akan terus cakna dan mengambil berat akan kebajikan dan kestabilan ekonomi rakyat. Kami di Barisan Nasional Johor Bahru juga terus komited membantu warga Johor Bahru sejak dari awal dan bukan hanya membantu ketika tiba Pilihanraya umum sahaja.

Ingatlah formula sebenar untuk kita kembali kepada keadaan normal ialah ‘Kestabilan Masa Depan’ dan Barisan Nasional sahajalah yang mampu menawarkan kestabilan tersebut kepada Malaysia sekiranya diberikan peluang dan mandat dalam PRU-15 nanti.

YAHYA JAAFAR
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.