Nilai Segala Kandungan Media Sosial, Jangan Termakan Fitnah – Ramli

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Para pengundi khususnya anak muda dinasihatkan untuk sentiasa menilai dengan baik segala perkara yang terpampang di media sosial kerana bimbang ianya adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, akibat termakan fitnah yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH), rakyat merana selama 22 bulan.

“Saya nak beri pandangan dan nasihat terutama sekali kepada pengundi-pengundi yang muda dan baharu ini, tolong nilai segala kandungan dalam media sosial. Bukan semua benda betul di situ. Kita takut fitnah.

“Lihat ya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 begitu banyak perkara yang tidak benar dalam media sosial dan akibatnya 22 bulan rakyat merana,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Ramli, ketidakseimbangan politik yang terjadi akibat pentadbiran kerajaan 22 bulan itu turut menjadikan ekonomi negara perlahan.

“Untuk memastikan kestabilan politik, pilih UMNO/BN. Dah ada pengalaman mentadbir dengan baik. Bila kita berikan kepada orang baharu untuk mentadbir, selama 22 bulan sahaja kita dapat lihat bagaimana kerosakan yang mereka lakukan.

“Apabila tiada kestabilan politik, tidak ada pelabur yang akan masuk. Mereka takut nak berniaga di negara kita, ekonomi kita pun jadi perlahan. Impaknya begitu serius sekali.

“Politik mesti stabil, yang boleh menstabilkan politik negara, saya lihat UMNO/BN sahajalah. Bukan sebab saya ni ahli UMNO/BN, tetapi melalui pengalaman pentadbiran, mereka selama bertahun dan zaman-zaman kegemilangan negara kita adalah zaman BN. Lihat zaman 22 bulan PH, sendiri boleh tahu,” ujarnya lagi.

Tambah Ramli lagi, rakyat perlu belajar dari kesilapan untuk mereka pilih yang terbaik di masa akan datang.

“Saya lihat beginilah ya. Manusia ini perlu belajar daripada apa yang lepas dan yang berlaku. Apa yang boleh dilaksanakan. Jadi, yang lepas akan mengajarkan masyarakat kita sekarang.

“Apa yang saya maksudkan, pilih yang terbaik kerana setakat ini tidak ada parti politik yang saya rasa boleh mentadbr negara ini dengan sebaik mungkin melainkan UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.